KUALA LUMPUR: Tokoh korporat ternama, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua.

Menurut anak Allahyarham, Felina, ayahnya meninggal dunia pada jam 7.45 pagi hari ini.

Astro AWANI difahamkan, pengasas syarikat hartanah MK Land itu meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN).

Allahyarham yang berusia 73 tahun akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara hari ini.

"Buat masa ini jenazah ayah masih di IJN dan pihak keluarga sedang melakukan persiapan untuk proses selanjutnya," kata Felina kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Dilahirkan di Kampung Changkat, Pusing, Perak pada 18 Mac 1949, Allahyarham merupakan graduan Universiti Malaya dalam jurusan Sejarah dan menerima Ijazah Kedoktoran dari Universiti Utara Malaysia.

Allahyarham memulakan kerjayanya dengan berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Selangor.

Selepas dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tanah & Galian Selangor, beliau beralih ke sektor swasta dengan memegang jawatan Pengarah Urusan Shah Alam Properties Sdn Bhd.

Pada 1983, beliau menubuhkan secara rasminya Kumpulan Syarikat EMKAY yang menawarkan rumah mampu milik, terutamanya kepada pembeli rumah pertama, sehingga beliau digelar 'Raja Rumah Mampu Milik'.

Pada Ogos 1999, nama syarikat itu ditukar kepada MK Land Holdings Berhad selepas disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Setakat tahun 2018, kumpulan itu telah membina lebih 60,000 unit kediaman, komersial dan ruang pejabat dengan keluasan 10 juta kaki persegi dengan nilai pembangunan RM20 bilion.

Ia juga berjaya menjual lebih daripada 35,000 unit kediaman dengan harga bawah RM100,000 termasuk di Damansara Damai dan Bandar Baru Sungai Buloh.

Sepanjang kariernya, beliau dikurniakan pelbagai jenis anugerah dan penghargaan termasuk daripada Yang di-Pertuan Agong pada 2002 dan daripada Raja Muda Perak pada 2003.