KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral (B) Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia yang baharu berkuat kuasa 1 Julai 2022.

Beliau menggantikan Jeneral (B) Tan Sri Panglima Mohd Azumi Mohamad yang bersara pada 30 Jun lalu.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, pelantikan itu dibuat memandangkan beliau mempunyai pengalaman lebih 44 tahun dalam bidang perkhidmatan pertahanan dan ketenteraan serta pernah menggalas pelbagai jawatan penting dalam Angkatan Tentera Malaysia.

"Saya yakin, melalui pengalaman beliau yang luas serta kepakaran dalam pelbagai portfolio, pelantikan ini tepat pada masanya dan selaras dengan hala tuju negara yang sedang melakar perjalanan ke arah pendigitalan bagi mencapai status ekonomi digital dan berdaya saing.

"Semoga pelantikan ini akan terus memacu CyberSecurity Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifeli pernah memegang jawatan sebagai Panglima Tentera Darat ke-23 pada 21 Mei 2010, seterusnya dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke-18 pada 15 Jun 2011 dan bersara pada 14 Jun 2017.

Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara pertama pada Ogos 2016 hingga Jun 2018.

Beliau juga merupakan pemacu utama pelaksanaan Dasar Keselamatan Negara 2017, penggubalan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 serta terlibat sepenuhnya dalam pembentukan Agensi Keselamatan Siber Nasional.

Zulkifeli mendapat pendidikan awal di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu dan melanjutkan pelajaran di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi dan Royal Military Academy, Sandhurst, United Kingdom.

Beliau merupakan graduan dari Royal Thai Army Command and General Staff College, Thailand pada 1992 dan memiliki Sarjana Strategi Sumber Negara dari National Defence University, Washington DC, Amerika Syarikat pada 2001.

Beliau seterusnya dianugerahkan Doktor Kehormat dalam bidang Pengurusan dari Universiti Tun Abdul Razak pada 2013.