[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
MALAYSIA

Tanah di Jalan Duta kekal milik kerajaan

Sinar Harian 24/06/2025 | 04:15 MYT
Mahkamah menolak rayuan silang Semantan Estate supaya tanah berkenaan dipindah milik kepadanya. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kerajaan berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa untuk mengetepikan keputusan supaya tanah seluas 106.542 hektar di Duta Enclave (sebelum ini dikenali Jalan Duta) diserahkan kepada syarikat Semantan Estate (1952) Sdn Bhd.

Ringkasan AI
  • Kerajaan berjaya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini mengarahkan pemindahan hak milik tanah 106.542 hektar di Duta Enclave kepada Semantan Estate.
  • Mahkamah Rayuan mengarahkan pampasan dibayar kepada Semantan Estate, jumlahnya akan ditaksir Mahkamah Tinggi dalam masa 90 hari.
  • Pertikaian undang-undang bermula sejak 2003 apabila Semantan Estate mendakwa tanah diambil secara tidak sah; pelbagai rayuan telah difailkan kedua-dua pihak sepanjang tempoh itu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Lee Swee Seng (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang memerintahkan tanah itu diserahkan kepada Semantan Estate.
Bagaimanapun, beliau mengarahkan Kerajaan membayar pampasan kepada syarikat berkenaan dalam tempoh 90 hari.
Menurutnya, nilai pampasan akan ditaksirkan oleh Mahkamah Tinggi dengan bantuan pakar berdasarkan nilai pasaran pada tahun 1956 iaitu tarikh kerajaan memperoleh tanah itu.
Katanya, perbicaraan bagi keuntungan ‘mesne’ di Mahkamah Tinggi akan diteruskan dengan pengiraan keuntungan bermula 1956.
“Mesne’ merujuk kepada keuntungan atau manfaat ekonomi yang diperoleh secara tidak sah oleh seseorang yang menduduki atau menggunakan tanah atau properti orang lain tanpa izin yang sah,” katanya.
Dalam keputusan sebulat suara, beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi pada tahun 2009 tidak menyatakan sebarang arahan untuk kerajaan memindahkan semula tanah itu kepada syarikat terbabit.
Beliau berkata, tiada perintah yang boleh dilaksanakan yang memerlukan kerajaan bertindak sedemikian.
“Sejak kerajaan mengambil alih tanah itu pada Disember 1956, ia menjangkau hampir 70 tahun berlalu dan pada waktu itu tanah berkenaan hanya dipenuhi pokok getah tua.
“Hari ini, ia telah berubah menjadi sebuah bandar yang maju dengan kemudahan jalan raya, lebuh raya, jejambat, dan banyak bangunan kerajaan.
“Jika mahkamah memerintahkan pemindahan tanah itu kembali kepada Semantan Estate, ia akan menyebabkan bukan sahaja ia mendapat hak milik tanah, tetapi juga semua bangunan awam dan infrastruktur itu,” katanya.
Beliau yang bersidang bersama Hakim-Hakim, Datuk Azimah Omar dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, ekoran itu sebagai pemilik sah, Semantan Estate boleh melarang orang ramai memasuki kawasan itu.
Sebelum ini, Kerajaan merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Ogos tahun lalu yang mengarahkan pemindahan hak milik tanah kepada Semantan Estate.
Mahkamah sebelum ini memutuskan berpihak kepada saman pemula Semantan Estate terhadap Pendaftar Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sementara itu, Semantan Estate turut merayu terhadap satu lagi keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober 2021 yang menolak permohonan semakan kehakiman syarikat itu untuk mendapatkan semula tanah berkenaan.
Syarikat itu juga merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang kemudiannya membenarkan permohonan Pendaftar Tanah bagi perintah penangguhan pemindahan hak milik tanah kepada Semantan Estate.
Tanah yang dipertikaikan terletak di kawasan strategik Jalan Duta, dikenali sebagai Duta Enclave, yang menempatkan beberapa bangunan kerajaan, termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri serta Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Pertikaian undang-undang Semantan Estate bermula pada 2003 apabila syarikat itu menyaman kerajaan dengan mendakwa tanah berkenaan diambil secara tidak sah.
Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa kerajaan telah mengambil tanah tersebut secara tidak sah. Rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan selepas itu tidak berjaya.
Pada Februari 2017, Semantan Estate memfailkan saman terhadap Pendaftar Tanah Wilayah Kuala Lumpur bagi menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009.
Dalam prosiding ini, Kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly manakala Semantan Estate dihadiri peguam, Datuk Dr Cyrus V Das.
Sementara itu, Cyrus mengesahkan pihaknya akan memfailkan penangguhan terhadap prosiding taksiran ganti rugi di Mahkamah Tinggi dan permohonan mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan di sini.
Mahkamah menetapkan pengurusan kes taksiran ganti rugi di Mahkamah Tinggi pada Isnin minggu depan. -- Sinar Harian
#Mahkamah Rayuan #Duta Enclave #Semantan Estate #milik kerajaan #terkini