NATIONAL
Tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan: Kutipan dana capai sasaran, urusan jual beli segera dilakukan - MAIPk

Isu tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan sebelum ini mencuri perhatian apabila tanah yang menempatkan rumah ibadat itu dimiliki individu bukan beragama Islam apabila tanah itu dijual oleh cucu pewakaf. - Gambar/ Sinar Harian
IPOH: Kutipan dana bagi membeli sebahagian tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu, Bagan Serai bernilai RM1.8 juta telah mencapai sasaran dan urusan jual beli dengan pemilik akan segera dilakukan.
Ringkasan AI
- Kutipan dana sebanyak RM1.8 juta untuk membeli sebahagian tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu, Bagan Serai telah mencapai sasaran. Lebih RM2.1 juta berjaya dikumpulkan dan urusan jual beli dengan pemilik tanah akan segera dilakukan.
- Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini, menzahirkan penghargaan kepada semua penderma dari seluruh negara yang menyumbang kepada Masjid Jamek Ar-Ridzuan. MAIPk juga bersedia membantu dalam urusan dokumentasi pembelian tanah.
- MAIPk dan JAIPk akan mengambil langkah nasihat pentadbiran untuk memastikan isu tanah wakaf tidak berulang. Semua pengerusi masjid dan surau di negeri ini disarankan menyemak semula status tanah wakaf mereka bagi mengelakkan masalah di masa hadapan.
"MAIPk sedia menghulurkan bantuan termasuk menguruskan dokumentasi pembelian dengan pemilik tanah untuk diserahkan segera kepada pejabat tanah," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Isu tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan sebelum ini mencuri perhatian apabila tanah yang menempatkan rumah ibadat itu dimiliki individu bukan beragama Islam apabila tanah itu dijual oleh cucu pewakaf.
Sehubungan dengan itu, ia perlu ditebus segera bagi mengelak sebarang risiko pada masa akan datang dan pemilik bersetuju untuk menjual semula tanah terbabit.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad kemudian memaklumkan kerajaan negeri akan menggunakan wang kutipan derma solat Jumaat dari seluruh negeri bagi membeli semula tanah itu.
Sementara itu, Mohd Annuar berkata MAIPk menzahirkan penghargaan kepada semua penderma dari seluruh negara yang menyalurkan sumbangan terus kepada Masjid Jamek Ar-Ridzuan.
"Saranan menteri besar agar semua masjid dan surau diri Jumaat (SDJ) menyediakan tabung khas bagi kutipan telah mengajak umat Islam untuk menjalankan melakukan ibadah dan berwakaf.
"Tuduhan mengatakan mengapa kerajaan negeri tidak biaya sahaja, kerajaan negeri lemah kerana serahkan kepada rakyat menderma, ini kenyataan tidak bertanggungjawab kerana saya yakin andai ditakdirkan masjid tidak berjaya membuat kutipan, kerajaan negeri akan mengambil tanggungjawab itu," katanya.
Mohd Annuar berkata beliau menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada semua pengerusi masjid dan surau untuk menyerahkan sumbangan tabung khas melalui pekeliling yang dikeluarkan kepada Masjid Jamek Ar-Ridzuan memandangkan dana sudah mencukupi.
MAIPk dan JAIPk, katanya akan melaksanakan langkah nasihat pentadbiran bagi memastikan isu tanah wakaf Masjid Jamek Ar-Ridzuan tidak berulang.
"Kita mengambil pengajaran daripada kes itu dan berkemungkinan terdapat kes yang sama yang perlu disemak semula khususnya melibatkan tanah yang diwakafkan kepada masjid atau surau.
"Langkah ini bagi memastikan kesemua pengerusi masjid atau surau perlu menyemak semula status tanah masjid atau surau di semua daerah negeri ini," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami