JOHOR BAHRU: Pembinaan jalan alternatif sepanjang satu kilometer susulan kejadian mendapan tanah di Jalan Forest City-Pelabuhan Tanjung Pelepas di Iskandar Puteri, Ahad lepas, telah siap dan dibuka kepada orang ramai mulai 11.40 pagi tadi.

Pihak Pengurusan Country Garden Pacificview Sdn Bhd memaklumkan kerja pembinaan jalan alternatif yang melibatkan 200 kakitangan dengan pelbagai peralatan dan kelengkapan itu, dilaksanakan di bawah pemantauan Jabatan Kerja Raya, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Menteri Besar Johor serta Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

"Pada masa sama, kumpulan pakar daripada agensi kerajaan, pasukan Forest City dan syarikat konsultan profesional masih menjalankan siasatan bagi mencari punca kejadian. Pemeriksaan turut dijalankan terhadap aspek keselamatan di sekitar lokasi," menurut pihak pengurusan itu dalam kenyataan hari ini.

Pada Ahad lepas, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri Pegawai Bomba Kanan II Hairulnizam Mohd Noh dilapor berkata mendapan melibatkan jalan sepanjang 25 meter itu berlaku pada 2 petang, namun kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau mangsa.

Susulan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata pihak pengurusan akan membina jalan alternatif yang mengambil masa 48 jam dan dijangka siap sepenuhnya pada Rabu.

-- BERNAMA