ISTIADAT PERNIKAHAN DIRAJA | Raja Muda Selangor bakal melangsungkan pernikahan pada 2 Oktober ini
MALAYSIA

Tanah Palestin terus dirampas, ABIM tuntut pengiktirafan disusuli tindakan konkrit

Seth Akmal 22/09/2025 | 13:45 MYT
Ahmad Fahmi Mohamad Samsudin berpendapat walaupun pelbagai negara menyokong penyelesaian dua negara namun situasi di Palestin masih tidak berubah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pengiktirafan terhadap negara Palestin sebagai sebuah negara berdaulat mesti dilaksanakan dengan tindakan nyata, termasuk menghentikan hubungan diplomatik dan dagangan dengan Israel.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohamad Samsudin berpendapat, walaupun pelbagai negara menyokong penyelesaian dua negara, situasi di Gaza dan Tebing Barat tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Apa erti negara bagi Palestin sekiranya rakyat terus hilang, lenyap, musnah dan dihancurkan (sehingga) tiada apa-apa pada hari ini.

“Negara-negara majoriti pada hari ini semakin mengiktiraf (Palestin) dulu kita anggap terlambat namun demikian pengiktirafan perlu bergerak secara serentak melalui strategi yang ada,” katanya semasa wawancara di segmen Pantau Agenda Reformasi: Pengiktirafan Terhadap Palestin Apa Maknanya? pada Isnin.

Tambah beliau, Palestin semakin hilang tanah di wilayahnya sejak 1967 hingga kini dan warganya terus menjadi mangsa bedilan peluru Israel.

“Kita lihat situasi hari ini, realitinya walaupun banyak kali disebut penyelesaian dua negara namun di lapangan tidak berlaku.

“Kelihatan apa yang terjadi bukan saja di Gaza namun di Tebing Barat sebenarnya menggambarkan bahawasanya Palestin sejak 1967 hingga 2025 semakin mengecil semakin tidak ada asas untuk wujudkan negara,” katanya lagi.

United Kingdom, Kanada, Australia dan Portugal antara negara terbaharu yang mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat, menandakan perubahan penting dalam pendirian blok Barat terhadap Israel.

Manakala Perancis telah mengumumkan akan mengiktiraf Palestin pada Sidang Agung PBB September ini, manakala Jerman setakat ini belum menyatakan rancangan pengiktirafan rasmi tetapi menghadapi tekanan dalaman dan antarabangsa untuk berbuat demikian

Fahmi turut mengambil contoh sikap Sepanyol bertindak untuk memboikot perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 jika Israel menyertai kejuaraan berprestij itu.

“Pengiktirafan itu perlu diterjemahkan dengan tindakan yang bersifat kritikal, hentikan sebarang transaksi, dagangan, diplomatik.

“Sepanyol kita dengar baru-baru ini menyatakan, sekiranya Israel terlibat dalam penyertaan maka negara ataupun pasukan bola sepak mereka akan menarik diri,” ujarnya.

Presiden ABIM itu juga menyambut baik tindakan masyarakat sivil seperti pengusaha kedai dan premis kerajaan yang menolak kemasukan warga Israel ke premis mereka sebagai simbolik dunia menentang kekejaman rejim zionis Israel.



#Palestin #Diplomatic #Israel #Malaysia