Tanah runtuh: Banglo tiga tingkat diarah dikosongkan, kolam renang bocor disyaki punca

Sinar Harian
Februari 3, 2024 10:50 MYT
Anggota bomba sedang memantau di lokasi kejadian tanah runtuh Taman Bukit Pantai, Bangsar, pada Sabtu. -Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Sebuah banglo tiga tingkat di Taman Bukit Pantai, Bangsar, di sini terjejas akibat tanah runtuh, pada Sabtu.
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mustafa Kamal Mohd Arih berkata, seramai 17 anggota dan pegawai bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai dan BBP Seputeh dikejarkan ke lokasi selepas menerima laporan mengenai kejadian pada jam 10.45 pagi.
"Pemeriksaan awal mendapati, runtuhan tanah berkemungkinan daripada kebocoran saliran air kolam renang di rumah di bahagian atas.
"Kerja-kerja mengosongkan sisa air kolam renang dilakukan oleh pasukan bomba bagi mengelakkan tanah semakin lembap dan berpotensi berlakunya pergerakan atau hakisan tanah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ujar beliau, tiada mangsa terperangkap dan tiada struktur rumah rosak dilaporkan berlaku.
"Seorang wanita berusia 40-an yang menyewa rumah berkenaan serta pemilik rumah terletak bersebelahan dengan lokasi kejadian tanah runtuh diminta mengosongkan kediaman.
"Kes diserahkan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Unit Cerun, pihak polis dan kontraktor rumah untuk tindakan lanjut," katanya. -Sinar Harian
#tanah runtuh #Taman Bukit Pantai #banglo tiga tingkat #kebocoran saliran air kolam renang