Tanah runtuh Batang Kali: Mayat mangsa ke-25 dijumpai pada kedalaman 17 meter

Fareez Azman
Disember 21, 2022 03:10 MYT
Pasukan Mencari dan Menyelamat SAR Operasi Tanah Runtuh telah berjaya menemui mangsa yang ke-25 iaitu seorang kanak-kanak perempuan di sektor C. - Foto JBPM
HULU SELANGOR: Mayat mangsa ke-25 yang juga kanak-kanak perempuan yang ditemui pada kedalaman 17 meter di lokasi runtuhan tanah.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, pihaknya telah menggali lokasi berkenaan sedalam tujuh hingga lapan meter.
Bagaimanapun, dengan bantuan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), pasukan mencari dan menyelamat dapat mengali lebih dalam di kawasan berkenaan sebelum menemui mayat mangsa.
"Sebelum ini kita dah korek 7 hingga 8 meter, rupa-rupanya ia (mayat mangsa) berada di bawah lagi, sebab itu bantuan daripada JUPEM membuat kiraan kedalaman tanah itu membantu kita.
"Lima meter selepas kita korek, asal tanah itu 17 meter. Kita dah korek dan berhenti, kita ingatkan kedalaman lima meter itu cukup rupanya dalam lagi," jelasnya lagi.
Tambahnya, pasukan mencari dan menyelamat turut menemui seketul batu yang besar sebelum mayat kanak-kanak berkenaan ditemui.
"Kita korek jumpa batu besar iaitu tempat asal, petunjuk baru ini menunjukkan satu petunjuk baik kepada pasukan SAR.
"Saya berharap hari ini kita dapat menemui lagi mangsa-mangsa masih kita mencari kemungkinan besar kita akan buat pencairan lebih dalam.
"Sekarang keadaan berselut dan kedalaman tinggi, selain daripada itu, ada batu besar, batu itu lebih besar daripada eskavator, sebab itu keadaan lambat kita jumpa," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di lokasi kejadian di sini pada Rabu.
Sehingga kini, lapan lagi mangsa masih hilang di lokasi runtuhan.
#Tanah Runtuh Batang Kali #Father's Organic Farm #mayat #Kanak-kanak