Tanah runtuh Batang Kali: Mayat pertama dibawa keluar dari Hospital Sungai Buloh

Umavathi Ramayah
Disember 17, 2022 10:22 MYT
Sepuluh minit sebelum dibawa keluar menaiki kenderaan pusat pengebumian Nirvana, keluarga mangsa dilihat melakukan upacara keagamaan di tempat letak kereta. - Foto Astro AWANI
SUNGAI BULOH: Mayat pertama mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor pada Jumaat, dipercayai seorang kanak-kanak dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, di sini pada pukul 4.21 petang tadi selepas selesai proses bedah siasat.
Sepuluh minit sebelum dibawa keluar menaiki kenderaan pusat pengebumian Nirvana, keluarga mangsa dilihat melakukan upacara keagamaan di tempat letak kereta hospital berkenaan.
Kira-kira 20 minit kemudian, mayat seorang lagi mangsa dipercayai seorang wanita pula dibawa keluar menaiki kereta mayat.
Identiti penuh kedua-dua mangsa bagaimanapun masih belum dimaklumkan.
Setakat pukul 5.15 petang, empat lagi van mayat dilihat dalam keadaan bersedia untuk membawa keluar mangsa.
Dalam pada itu, bilik mayat Hospital Sungai Buloh terus diselubungi suasana pilu dengan kehadiran ahli keluarga dan kenalan mangsa.
[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: 2 lagi mayat ditemukan, angka korban meningkat kepada 23
Sebelum itu, satu lagi mayat kanak-kanak perempuan ditemukan di tapak perkhemahan Father's Organic Farm pada jam 4.05 petang, Sabtu.
Mangsa ke-24 itu ditemukan di bahagian sektor pencarian A iaitu Hillview.
#tanah runtuh #batang kali #Hospital Sungai Buloh #mayat pertama