BATANG KALI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki mangsa yang masih tertimbus dalam runtuhan cerun di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di sini, bersambung jam 9 pagi selepas dihentikan sekitar jam 4 pagi tadi.

Misi mencari sembilan lagi mangsa tanah runtuh diteruskan dengan pembabitan lebih 135 anggota dan pegawai daripada lima agensi penyelamat utama.

Selain itu, misi turut dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada ketika ini, tumpuan diberikan kepada tiga sektor pencarian, iaitu A (Kem Hillview), B (Kem Farm View) dan C (Kem Riverside).

Pada Sabtu, operasi pencarian hari kedua menemui tiga mayat di sektor A.

Selain itu, JPBM dilaporkan turut menambah jentera berat dalam operasi hari ini bagi membantu mencari mangsa yang hilang serta mengalihkan pokok tumbang yang mungkin menghempap mangsa. 

Setakat ini, seramai 24 mangsa terkorban dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan tersebut, yang terletak di Jalan Batang Kali - Genting Highlands, sementara 61 berjaya diselamatkan, dengan tujuh daripadanya cedera.

Dalam kejadian awal pagi Jumaat itu, runtuhan tanah berlaku di tiga lokasi tapak perkhemahan itu, membabitkan keluasan keseluruhan 225,000 meter padu (m³) dengan anggaran tanah runtuh 500,000 tan dan ketinggian 30 meter (m), selain jarak runtuhan sejauh 150m dan lebar 100m.