Tanah runtuh Batang Kali: Operasi SAR diteruskan, hujan diramal petang ini

Fareez Azman
Disember 22, 2022 05:57 MYT
Keadaan cuaca buruk dengan hujan lebat menyebabkan operasi hari keenam terpaksa dihentikan demi keselamatan para petugas dari pelbagai agensi mencari dan menyelamat. - Foto Astro AWANI
HULU SELANGOR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) terhadap tiga lagi mangsa yang dikhuatiri hilang dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali, Hulu Selangor diteruskan pada jam 8 pagi Khamis.
Setakat ini, operasi melibatkan 128 anggota pelbagai agensi, dibantu 11 jengkaut tanah dan tujuh anjing pengesan K9.
Namun, menerusi pemerhatian Astro AWANI, usaha pencarian pada Khamis dijangka berdepan kesukaran atas faktor cuaca.
Walaubagaimanapun, keadaan cuaca hari ini sukar diramal, cuaca mendung dan hujan renyai sekali-sekala melanda lokasi tragedi tanah runtuh berkenaan.
Setakat 2.15 petang (Khamis), hujan lebat mula turun di lokasi insiden, ini sekaligus menyukarkan usaha pencarian terhadap tiga lagi mangsa yang hilang.
Beberapa ahli pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi lain turut dilihat keluar dari lokasi insiden.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada operasi SAR diteruskan atau pun ditangguh sementara atas faktor cuaca.
LAPORAN KOMPREHENSIF TRAGEDI TANAH RUNTUH BATANG KALI DI SINI
Menurut ramalan Jabatan Meterologi Malaysia (METMalaysia), cuaca baik dijangka di sebelah pagi, bagaimanapun pada sebelah petang dijangka ribut petir di beberapa kawasan di daerah Hulu Selangor.
Ketika ini, pasukan SAR tertumpu di sektor C dan A dipercayai lokasi tiga lagi baki mangsa yang masih belum dijumpai.
#Tanah Runtuh Batang Kali #Father's Organic Farm #MetMalaysia #operasi SAR tanah runtuh Batang Kali