HULU SELANGOR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali bukan hanya diteruskan di lokasi kejadian, malah melibatkan kawasan sungai berhampiran.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, tujuh anggota pasukan khas dikerahkan ke kawasan sungai berhampiran 'ground zero' untuk usaha mencari mangsa.

"Selepas hasil usaha kita sehingga empat hari, belum menunjukkan petanda sembilan orang ini, apa kita buat tadi kita dah gerakkan pasukan 'sweeper' mencari selain kawasan ground zero iaitu di kawasan sungai ground zero.

"Untuk pastikan mangsa ini sama ada berada di sana, kita nak pastikan betul-betul ada mangsa hanyut atau tersangkut di pokok. Bagaimanapun tinjauan mendapati tiada mangsa di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di lokasi kejadian di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut mengenai kaedah pencarian, tambah Hafisham, pihaknya terpaksa membuat laluan daripada batang pokok di lokasi kejadian untuk dilalui jengkaut tanah.


[LAPOR LANGSUNG] Cuaca mendung, operasi SAR sembilan lagi mangsa diteruskan

Ia berikutan keadaan tanah yang lembut, menyukarkan jentera berat memasuki kawasan berkenaan.

"Seharian kita dah buat usaha pencarian dan dah buat memenuhi keseluruhan tanah kita gali pun negatif, dah sampai ke tanah asal, masih belum menemui apa-apa tanda berkaitan dengan mangsa.

"Kita buat penambahan jentera berat untuk mengasingkan tanah tersebut ke kawasan lain supaya tidak berkumpul di tempat sama.

"Tanah masih lembik, berlecak amat tinggi, kita terpaksa guna kaedah jadikan batang pokok sebagai lantai jentera berat sebab tanah semakin lembik, jentera mungkin akan terbenam," katanya lagi.

Sehingga jam 6.30 petang Isnin, sembilan mangsa masih belum ditemui di lokasi pencarian seluas 54,451 meter persegi itu.