Tanah runtuh Batang Kali: PGA, ATM guna kaedah 'sweeping' dari Sungai Kedondong sehingga Sektor C

Fareez Azman
Disember 22, 2022 08:20 MYT
Anggota PGA dan ATM menggunakan kaedah 'sweeping' yang digerakkan secara bersama di sekitar kawasan sungai berhampiran tanah runtuh. - Foto Astro AWANI
HULU SELANGOR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa yang hilang susulan tragedi tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali di sini memasuki hari ketujuh.
Usaha pencarian kini tertumpu di sekitar Sektor C dan A yang dipercayai lokasi baki mangsa yang masih belum ditemui.
Bagi Pasukan Gerakan AM (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kaedah 'sweeping' digerakkan secara bersama di sekitar kawasan sungai berhampiran.
Bermula dari kawasan Sungai Kedondong, seramai 32 pegawai dan anggota memulakan misi pencarian sehingga ke Sektor C dengan jarak kira-kira lima kilometer.
Setiap anggota juga akan melalui kawasan sungai, menjejaki sekiranya terdapat kesan mangsa dihanyutkan.
Operasi itu dianggarkan mengambil masa beberapa jam sebelum tiba di Sektor C.
Sebelum ini, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) juga menggunakan kaedah 'sweeping' di kawasan sungai berhampiran lokasi runtuhan.
Bagaimanapun, tiada penemuan mangsa didapati.
Operasi mencari dan menyelamat masuk hari ketujuh, melibatkan 128 pegawai dan anggota dibantu 11 jengkaut tanah dan tujuh unit anjing pengesan K-9.
30 mangsa telah ditemui setakat ini, dengan tiga mangsa masih hilang.
#tanah runtuh #batang kali #operasi sar #ATM