HULU SELANGOR: Anggota yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali, 16 Disember lalu, mengakui masih terbayang-bayang mendengar rayuan mangsa dan waris, walaupun selepas operasi itu sudah tamat. 

Ketua Zon 6 Hulu Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmadi Muhamad Hasan, 42, berkata mangsa dan waris yang terselamat dalam kejadian itu, merayu pasukan SAR menyelamatkan anak dan ahli keluarga yang terperangkap dalam runtuhan.

Beliau yang berpengalaman selama 18 tahun, mengakui menyedari operasi itu bukan tugas mudah selepas menerima panggilan kecemasan sekitar jam 2 pagi Jumaat, memaklumkan jumlah mangsa sangat ramai.

Mengalas tanggungjawab besar, Ahmadi berkata  beliau dan pasukan daripada pelbagai agensi berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan mangsa terlibat.

"Memang banyak kata-kata (rayuan) yang masih terngiang-ngiang di telinga saya, antaranya adalah 'bantu tolong cari anak dan saudara saya di dalam kem itu'.

"(Ketika itu) apa yang kita boleh jawab, kita sedang berusaha, dan akan cuba sedaya upaya untuk mencari dan membantu waris-waris dia yang ada di dalam tapak perkhemahan.

"Keadaan mangsa yang terselamat, kalau nak diikutkan, saya pun jatuh air mata juga (melihat keadaan mereka) tetapi kita sebagai penyelamat tidak boleh nak tunjukkan kelemahan.

"Walau bagaimanapun, kita dapatkan mangsa-mangsa yang boleh berkomunikasi dan yang lain itu memang dalam keadaan lemah dan trauma," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Ahad.

Operasi SAR diaktifkan selepas panggilan kecemasan pada awal pagi Jumaat lalu - Foto/JBPM

Berkongsi lanjut, bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata arahan telah diberikan kepada pasukan pertama iaitu dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu sebelum beliau tiba di tempat kejadian pada awal pagi Jumaat.

Ujar beliau, ketika pasukan SAR menemukan kumpulan mangsa terawal yang selamat, ada dalam kalangan mereka mengalami kecederaan pada anggota badan termasuk patah kaki dan tangan.

"Pada hari ketiga, keempat dan seterusnya kita percaya kalau ada mangsa yang ada (di lokasi tanah runtuh), mereka mungkin sudah meninggal dunia.

"Walau bagaimanapun kita menubuhkan juga Pasukan Khas 'Sweeper' dalam radius yang agak luas sehingga ke Sungai Kedondong dengan bantuan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk buat 'sweeping' kawasan terlibat.

"Kalau ikutkan lokasi kebanyakan mangsa berada di sektor A (Hillview). Kalau kita nak (ke sektor A) melalui sektor B (Farmview) dan C (Riverside) pada awal pagi itu sangat sukar kerana tanah masih lembut lagi.

"Itu kesukaran pertama kita nak keluarkan baki yang ada lebih 30 termasuk 14 pekerja yang terselamat," ujarnya lagi.

Operasi SAR - Foto/JBPM

Ahmadi berkata, pasukan SAR berusaha mendapatkan sebanyak mungkin maklumat daripada mangsa-mangsa yang terselamat, dan membawa mereka ke lokasi kejadian untuk gambaran yang lebih jelas mengenai kemungkinan kedudukan-kedudukan individu yang masih hilang.

Bagi memudahkan atur gerak tugas, beliau berkata lokasi pencarian kemudian dipecahkan kepada sektor A, B, C serta D (Green house).

"Kesukaran pasukan SAR untuk menempuh keluasan tanah lumpur atau runtuhan tanah seluas lebih kurang 15 ekar. Jadi itu yang kita buat plot supaya kita tak mencari keseluruhan kawasan itu.

"Kedalaman kedudukan mangsa (terkorban) sedalam tujuh meter, dan sebelum ini kalau lihat pasukan SAR yang keluar dalam keadaan berlumpur, itu memang menunjukkan keadaan tanah itu memang lembut," kongsi beliau.

Operasi SAR turut dibantu oleh anjing unit pengesan (K9) - Foto/JBPM

Kem tidak wujud

Beliau turut mengakui pasukan JBPM sebelum ini tidak pernah mengetahui mengenai tapak perkhemahan Father's Organic Farm berkenaan.

"Kita tak tahu pun wujud kawasan kem ini. Jadi maklumat yang kita dapat (dalam laporan awal) adalah ada pintu putih (antara pintu masuk di lokasi kejadian). Kebetulan pasukan bomba dari Genting sudah ada di sini dan pihak polis sudah ada untuk menunjuk arah," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmadi menafikan dakwaan bahawa pasukan SAR lambat menggunakan alat mengesan jasad manusia di kawasan runtuhan.

Operasi SAR - Foto/JBPM

Sebaliknya, alat berkenaan hanya digunakan selepas pasukan SAR yakin tiada lagi mangsa yang dapat ditemukan selamat.

"Operasi SAR kita kena dijalankan dulu sebab untuk hari pertama, ramai pasukan penyelamat di mana kita nak mencari mangsa yang hidup pada hari pertama dan kedua.

"Pada hari ketiga selepas kita yakin dan buat operasi SAR, kita dah kenal pasti mungkin sudah tidak ada lagi mangsa yang hidup, baru lah alat-alat itu dibawa masuk," tegasnya.

Ahmadi berkata dari hari pertama sehingga ketiga operasi, dianggarkan lebih 800 anggota SAR daripada pelbagai agensi digerakkan, dengan 200 daripada kekuatan tersebut adalah pasukan JBPM.

Selain JBPM, agensi utama yang terlibat dalam operasi SAR ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM); ATM; Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART); serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

RM5,000 dijumpai

Sepanjang misi SAR dijalankan, Ahmadi berkata pihaknya menemukan pelbagai barangan peribadi dipercayai milik mangsa termasuk wang tunai yang dianggarkan RM5,000.

"Untuk hari pertama lagi yang saya lihat mangsa-mangsa ini memang dia tak fikir tentang barangan.

"Jadi kita memang buat pencarian itu dan selain daripada mangsa yang kita temukan, peralatan-peralatan mereka pun kita bawa dan serahkan kepada pihak polis.Malah mangsa-mangsa yang telah meninggal pun apa yang pada badan mereka, kita buat serahan kepada waris.

"Untuk hari pertama itu saya ingat lebih kurang RM5,000 wang tunai ditemui dan diserahkan kepada pihak polis, di samping barang-barang peribadi seperti telefon dan lain-lain," jelasnya.

.

Penemuan 'ubat' hilang kepenatan

"Saya nak maklumkan apabila kita sebagai pasukan menyelamat, apabila kita menemui mangsa, itu adalah ubat yang paling mujarab menghilangkan rasa kepenatan," luah Ahmadi.

Mengakui bahawa pasukan SAR juga terkesan dari segi emosi susulan tiada penemuan sepanjang dua hari, iaitu pada 18 dan 19 Disember.

"Jadi di akhir pada 19 Disember itu, kita terpaksa membuat terapi minda kepada mereka.

"Kita memberi kata semangat supaya pada hari seterusnya itu mungkin ada petunjuk yang akan memberi keyakinan semula kepada pasukan SAR. Itu salah satu kesukaran pasukan penyelamat, sebab macam saya cakap kalau tak ada hasil, kita lemah," imbasnya.

Dalam masa yang sama, sepanjang beliau berkhidmat sebagai anggota bomba dan terlibat dalam misi SAR, kerjasama antara agensi dalam kejadian tanah runtuh Batang Kali disifatkan sebagai paling erat dan cemerlang.

Dalam kejadian pada awal pagi Jumaat lalu, seramai 31 mangsa disahkan terkorban dengan 61 individu terselamat daripada 92 yang terlibat.

Mayat terakhir yang merupakan seorang kanak-kanak lelaki ditemukan di dalam beg tidur pada jam 4.53 petang di sektor A dengan kedalaman 1.5 meter (m).

Operasi SAR ditamatkan secara rasmi pada jam 12 tengah hari Ahad selepas pihak berkuasa berpuas hati dan yakin tiada lagi mangsa yang hilang di lokasi kejadian.