Tanah runtuh Bukit Permai: Gelongsoran baharu dikesan, penghuni 15 rumah dinasihat pindah

Bernama
Mac 13, 2022 13:21 MYT
Polis berkata gelongsoran tanah agak besar itu dikesan berlaku pada 7 malam, namun tidak membabitkan sebarang kemalangan atau kemusnahan harta benda. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Polis menasihatkan penduduk di 15 rumah di Jalan Bukit Permai 1, Ampang dekat sini, untuk mengosongkan kediaman dan berpindah sementara susulan berlaku gelongsoran tanah baharu semalam di kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata gelongsoran tanah agak besar itu dikesan berlaku pada 7 malam, namun tidak membabitkan sebarang kemalangan atau kemusnahan harta benda.
"Kawasan Taman Bukit Permai 1 ini terletak di atas bukit iaitu berhampiran lokasi insiden cerun runtuh.
"Kita khuatir kejadian gelongsoran tanah yang baharu ini akan memberi kesan kepada satu deretan kediaman di kawasan itu, jadi kita nasihatkan mereka berpindah.
"Setakat ini, hanya satu lorong sahaja yang terbabit tetapi kita akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi Bernama.
[INFOGRAFIK] Kronologi insiden tanah runtuh Taman Bukit Permai
Mohamad Farouk berkata keputusan tersebut dibuat selepas pemeriksaan daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mendapati kedudukan tanah tidak stabil dan boleh menjejaskan keselamatan penduduk di kawasan itu.
Pada Khamis lepas, insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa, seorang cedera ringan selain 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.
-- BERNAMA
#tanah runtuh Bukit Permai #Ampang #pergerakan tanah #penduduk diarah pindah