AMPANG: Satu lagi mayat ditemukan menjadikan angka korban insiden tanah runtuh Jalan Teratai, Taman Bukit Permai di sini, meningkat kepada dua orang, setakat 11.55 malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Farouk Eshak memberitahu, mangsa terbaharu itu melibatkan penghuni rumah nombor satu dan dipercayai berusia dalam linkungan 40-an.

“Mayat mangsa ditemukan sekitar jam 10.58 malam dalam keadaan tertimbus di luar rumahnya. Kita percaya mangsa mungkin sedang cuba melarikan diri sebelum tertimbus di bawah runtuhan tanah itu,” katanya pada sidang media di sini, pada Khamis.

"Rumah mangsa juga telah runtuh sepenuhnya," kata Mohd Farouk. 

Mohd Farouk berkata, dua lagi mangsa melibatkan seorang pekerja Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan penghuni  masih lagi dikhuatiri tertimbus dan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
[TERKINI] Tanah Runtuh | Sidang media oleh Ketua Polis Daerah Ampang Jaya


Mangsa korban pertama yang merupakan seorang wanita warga emas telah dibawa keluar dari timbunan tanah di lokasi insiden berkenaan tekah dibawa keluar sekitar jam 9.15 malam tadi. 

Setakat ini, dua lagi mangsa dikhuariti masih tertimbus dan operasi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan di lokasi insiden. 

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis memberitahu,  berdasarkan laporan awal tidak berlaku pergerakan tanah.

Katanya, pasukan penyelamat juga menggunakan Unit Anjing Pengesan bagi mengenal pasti kedudukan mangsa sebelum operasi dilakukan secara manual.

Dalam insiden pada petang Khamis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilaporkan menerima panggilan kira-kira pukul 5.52  petang sebelum pegawai dan anggotanya Balai Bomba dan Penyelamat Pandan ditugaskan ke lokasi kejadian.

Berdasarkan laporan awal, sebanyak 15 buah rumah dan 10 buah kenderaan terkesan akibat kejadian tanah runtuh ini.

Sebanyak dua buah rumah dilaporkan tertimbus sepenuhnya, manakala baki yang lain separa terjejas.