MALAYSIA

Tanah Runtuh: Empat lagi mangsa ditemukan, dua masih hilang di Kampung Cenderakasih – Polis

Fadhil Selihin 15/09/2025 | 07:43 MYT
Empat lagi mangsa tanah runtuh di Kampung Cenderakasih ditemukan. - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, Kolombong, di sini menyaksikan empat lagi mangsa yang tertimbus berjaya ditemukan, menjadikan berbaki dua mangsa masih hilang.


Ringkasan AI
  • Empat lagi mangsa tanah runtuh di Kampung Cenderakasih ditemui, menjadikan dua mangsa masih hilang; operasi SAR diteruskan sehingga semua ditemui.
  • Pasukan penyelamat guna tenaga manusia dan jengkaut untuk alih timbunan tanah serta sampah seberat 2030 tan; Unit K9 turut dikerahkan.
  • Penduduk dinasihat berwaspada susulan cuaca tidak menentu yang berisiko menyebabkan runtuhan susulan; operasi dipercepat sebelum malam.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, penemuan itu hasil operasi berterusan pasukan penyelamat yang menggunakan tenaga manusia dan bantuan jengkaut bagi mengalihkan timbunan tanah serta sampah sarap yang dianggarkan seberat 20 hingga 30 tan.

“Setakat ini, enam mangsa yang hilang sebelum ini, empat telah ditemui. Kita ada baki dua lagi mangsa yang masih belum dijumpai dan operasi sedang diteruskan.

“Proses menyelamat menggunakan tenaga manusia agak perlahan, tetapi dengan bantuan jengkaut, kita cuba percepatkan usaha mencari. Kita akan terus berusaha sedaya upaya untuk selesaikan operasi sebelum gelap,” katanya ketika memberikan perkembangan terkini di lokasi kejadian, petang ini.

Kasim menambah, operasi SAR melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas bersama Unit K9, selain kerjasama PDRM, APM, dan KKM yang terus memantau keadaan bagi memastikan keselamatan pasukan penyelamat.

Beliau turut menasihatkan penduduk berhampiran lokasi kejadian supaya berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, susulan cuaca tidak menentu yang berisiko menyebabkan tanah runtuh susulan.

Operasi pencarian dan menyelamat akan diteruskan sehingga semua mangsa ditemui.







#tanah runtuh #Kampung Cenderakasih #operasi mencari dan menyelamat #mangsa tertimbus #terkini