[TERKINI] Najib Razak Dilepas Tanpa Dibebaskan – Kes SRC RM27 Juta, Ikuti Laporan di Sini
NATIONAL

Tanah runtuh: IWK ambil langkah mitigasi di loji rawatan kumbahan

Bernama 21/12/2023 | 10:48 MYT
IWK mengambil tindakan serta-merta untuk mengalirkan air banjir lumpur yang membanjiri STP terjejas, yang menyebabkan kerosakan pada saluran paip pembetung IWK di dalam kawasan itu. - Gambar fail/IWK
KUALA LUMPUR: Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd telah mengambil langkah mitigasi segera di Loji Rawatan Kumbahan (STP) IWK di Taman Wawasan, Puchong susulan tanah runtuh baru-baru ini berikutan hujan lebat Sabtu lepas.
Menurut kenyataan hari ini, selepas kejadian itu IWK mengambil tindakan serta-merta untuk mengalirkan air banjir lumpur yang membanjiri STP terjejas, yang menyebabkan kerosakan pada saluran paip pembetung IWK di dalam kawasan itu.
"Usaha pembersihan telah bermula pada Ahad (17 Dis) dan apabila siap, kumbahan mentah akan dialihkan ke ruang masuk, diikuti dengan proses rawatan," menurut kenyataan itu.
IWK memaklumkan syarikat berkenaan kekal komited kepada mandatnya untuk memastikan kumbahan dirawat dengan berkesan dan cekap bagi melindungi kesihatan awam dan menyediakan persekitaran yang lebih sihat dan selamat buat semua rakyat Malaysia.
Pada 16 Dis, berlaku insiden tanah runtuh di Jalan Wawasan dan susulan kejadian itu, penduduk terpaksa mengosongkan kediaman mereka, manakala aset IWK berdekatan mengalami kerosakan teruk.
-- BERNAMA
#IWS #kesihatan awam #kumbahan mentah #proses rawatan