MALAYSIA

Tanah runtuh: Penghadang konkrit dipasang elak kenderaan lalui Jalan Gua Musang-Lojing

Bernama 06/12/2025 | 10:30 MYT
Sebuah kenderaan didapati menggunakan laluan Jalan Gua Musang–Lojing di Pos Blau, Gua Musang, yang ditutup akibat tanah runtuh, semasa tinjauan pada Khamis lalu. - Foto Bernama
GUA MUSANG: Beberapa penghadang konkrit telah dipasang Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menghalang kenderaan melalui kawasan tanah runtuh di Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Pos Blau di sini.


Ringkasan AI
  • Penghadang konkrit dipasang oleh JKR di Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Pos Blau bagi menghalang kenderaan melalui kawasan tanah runtuh.
  • Pihak polis telah keluarkan dua saman kepada penunggang motosikal yang melanggar arahan penutupan jalan dengan kompaun RM500 mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
  • Pengarah JKR Kelantan menyatakan pihaknya sedang mengkaji kerja-kerja pembaikan di lokasi runtuhan dan pengguna boleh menggunakan jalan alternatif sedia ada.


Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata pemasangan penghadang berkenaan dilakukan syarikat konsesi Roadcare (M) Sdn Bhd membabitkan dua lokasi, iaitu KM44 Jalan Gua Musang-Lojing dan KM48 Jalan Lojing-Gua Musang.

"Kita harap pengguna jalan raya termasuk penunggang motosikal tidak membahayakan nyawa melalui kawasan runtuhan berkenaan. Setakat ini, dua saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal yang melanggar arahan penutupan jalan berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sik berkata pihaknya boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melanggar arahan penutupan Jalan Gua Musang-Lojing dengan mengenakan kompaun RM500 mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum ini media melaporkan, seorang remaja lelaki patah tangan kiri selepas kenderaan yang dipandu terjatuh ke dalam gaung akibat tanah runtuh di KM45 Jalan Gua Musang-Lojing pada 3 Dis lepas.

Sementara itu, Pengarah JKR Kelantan Nik Badlihisham Nik Ismail berkata pihaknya sedang mengkaji kerja-kerja pembaikan di lokasi runtuhan berkenaan dengan pegawai Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR telah membuat pemeriksaan pada 3 Dis lepas.

"Pengguna boleh menggunakan jalan persekutuan sedia ada sebagai jalan alternatif," katanya.

Jalan Gua Musang-Lojing FT185 di Seksyen 107.6, berhampiran Pos Blau ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan sejak 3 Dis lepas susulan kejadian tanah runtuh.

--BERNAMA








#tanah runtuh #Jalan Gua Musang-Lojing #Jabatan Kerja Raya #penghadang konkrit