Susulan kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Lost Paradise Resort, di sini, malam tadi, polis mengesahkan tiga mayat mangsa telah dijumpai setakat ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata, ketika ini, usaha untuk mengeluarkan mayat sedang giat dijalankan.

Menurut Che Zaimani, mayat pertama ditemui pada jam 11.15 malam, disusuli mayat kedua pada jam 11.49 malam dan ketiga pada jam 12.17 tengah malam.

Manakala, usaha mencari seorang lagi mangsa sedang dijalankan.

Katanya, kejadian tanah runtuh itu disedari berlaku oleh tukang kebun resort berkenaan yang mendengar bunyi runtuhan tanah di lokasi pembinaan tebing.

Tukang kebun tersebut terus memaklumkan kepada pemilik resort mengenai kejadian itu.

Mengulas lanjut, Che Zaimani berkata, keempat-empat mangsa yang masih gagal dikenalpasti identiti mereka dikatakan telah melakukan kerja-kerja pemasangan dinding penahan di kawasan itu sejak seminggu lalu.

"Apa yang saya dapati lagi, perkara ini berlaku kira-kira seminggu yang lepas, apabila tuan punya tempat ini telah memanggil empat orang pekerja Myanmar yang dia tak tahu identiti sebenarnya untuk membuat kerja-kerja 'retaining wall' tebing bagi menahan daripada runtuhan.

"Jadi, sudah seminggu mereka bekerja di sini sebelum berlaku kejadian yang malang hari ini," katanya kepada pemberita.

Menurutnya, kejadian runtuhan dipercayai berpunca daripada berlakunya pergerakan tanah.

"Kalau tengok tebing itu, cukup curam. Dan mereka menyedarinya, disebabkan ada tanah yang mula runtuh sedikit demi sediki.

"Sebab itu usaha diambil untuk membuat 'retaining wall'. Perkara ini sudahpun disedari sebenarnya," tambah Che Zaimani.

Katanya, pembinaan tembok penahan tanah itu tidak memerlukan sebarang kelulusan daripada pihak berkuasa memandangkan lokasi tersebut adalah tanah persendirian.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku ketika empat pekerja warga Myanmar itu sedang melakukan kerja-kerja mengorek longkang sedalam 4.5 meter di kawasan tapak pembinaan tersebut.

Pengarah JBPM Negeri, Saadon Mokhtar berkata, bomba juga telah menghantar pegawai pemeriksaan keselamatan untuk menilai keadaan tanah dan pergerakan tanah di kawasan tanah runtuh.

Katanya, usaha mengeluarkan mangsa dibahagikan kepada dua sektor dengan bantuan sebuah jengkaut untuk mengalihkan tanah.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan jika keadaan cuaca baik dan tiada berlaku pergerakan tanah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.25 malam pada Selasa, empat pekerja asing warga Myanmar maut akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tebing Jalan Batu Ferringhi.