MALAYSIA

Tanah runtuh: Tujuh disahkan maut di Kampung Cenderakasih, operasi tujuh jam tamat – Polis

Fadhil Selihin 15/09/2025 | 08:34 MYT
Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan selepas operasi menyelamat yang mengambil masa hampir tujuh jam. Foto JBPM Sabah
KOTA KINABALU: Tragedi tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, Kolombong, di sini berakhir dengan tujuh mangsa disahkan maut, termasuk seorang wanita berusia lingkungan 20-an dan seorang kanak-kanak.


Ringkasan AI
  • Tragedi tanah runtuh di Kampung Cenderakasih berakhir dengan tujuh mangsa maut, termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak; empat mangsa selamat, seorang cedera.
  • Operasi SAR ambil masa hampir tujuh jam untuk keluarkan semua mangsa, dengan cabaran timbunan tanah dan sampah seberat 2030 tan serta risiko runtuhan susulan.
  • Kawasan kejadian ditutup untuk siasatan dan keselamatan, pemindahan penduduk di kawasan berisiko akan dilakukan; penduduk dinasihat patuhi arahan pihak berkuasa.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, berkata kesemua mangsa berjaya dikeluarkan selepas operasi menyelamat yang mengambil masa hampir tujuh jam.

“Keseluruhan mangsa terlibat ialah 11 orang. Empat mangsa selamat, termasuk seorang cedera patah kaki. Selebihnya, tujuh mangsa disahkan meninggal dunia.

"Mangsa terakhir ditemui kira-kira jam 3.45 petang,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata proses mengeluarkan mangsa terakhir mengambil masa lebih lama kerana mangsa tertimbus lebih dalam di bawah runtuhan rumah dan timbunan sampah.

“Operasi bermula sekitar 10.30 pagi dan tamat jam 3.45 petang. Kawasan runtuhan ini curam, dipenuhi tanah dan sampah dianggarkan seberat 20 hingga 30 tan. Kami juga bimbang berlaku runtuhan susulan jika cuaca buruk,” jelasnya.

Kasim turut memaklumkan kawasan kejadian ditutup sementara bagi siasatan dan keselamatan.

Pemindahan penduduk di kawasan berisiko akan dilakukan selewat-lewatnya pagi esok.

Beliau menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko tinggi, cerun curam, atau berhampiran pokok besar supaya segera berpindah jika diarahkan pihak berkuasa.

“Kita tidak mahu kehilangan nyawa lagi seperti yang berlaku hari ini. Dengar nasihat pihak berkuasa untuk keselamatan semua,” tambahnya.

Operasi menyelamat melibatkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Unit K9, PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Semua agensi bersepadu memastikan lokasi selamat dan tiada risiko susulan sebelum menamatkan operasi.




#tanah runtuh #Kampung Cenderakasih #tujuh maut #operasi tamat #terkini