KOTA KINABALU: Usaha kerajaan untuk membina semula Klinik Kesihatan Tangkarason di Beluran yang terbakar baru-baru ini tergendala apabila tanah yang diduduki tidak dimohon untuk diwartakan walaupun klinik berstruktur kayu itu telah dibina sejak 30 tahun lepas.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib berkata situasi itu yang amat menyedihkan kerana kerajaan mahu segera membina klinik itu bagi memberikan kemudahan kesihatan terbaik kepada penduduk di kawasan tersebut.

Beliau berkata daripada rekod Jabatan Tanah dan Ukur, tanah terlibat belum lagi dimohon diwartakan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP), malah isu tanah juga membelenggu usaha membina serta menaik taraf klinik lain antaranya Klinik Kesihatan Mansiad di Sook.

"Saya sebagai menteri bertanggungjawab cukup marah dengan situasi ini. Kakitangan kerajaan perlu faham peranan mereka. Tempoh 30 tahun itu panjang, pegawai bertukar tiada susulan sedangkan susulan oleh jabatan perlu untuk pantau status tanah, jika satu dua tahun tidak lulus kena tahu apa masalahnya.

"Kerjasama antara jabatan dan kakitangan kerajaan di peringkat Persekutuan serta negeri juga perlu ada untuk kita pastikan perkara seperti ini tidak lagi terjadi. Kita kerjasama kerana pada akhirnya kita mahu beri kemudahan kepada rakyat di Sabah," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada Sabtu lepas, KKM dalam kenyataan memaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah akan mengemukakan permohonan peruntukan bagi penggantian bangunan Klinik Kesihatan Tangkarason yang musnah dalam kebakaran 15 Feb lepas.

Kebakaran itu memusnahkan klinik tersebut termasuk sebuah kuarters serta semua aset dan kelengkapan perubatan, menyebabkan kemudahan kesihatan untuk penduduk di kawasan itu dipindahkan ke Dewan Serbaguna Kampung Tangkarason.

James berkata beliau akan membawa perkara itu kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan mengingatkan kepada semua ketua jabatan serta petugas kerajaan di negeri ini supaya tidak cuai atau lalai hingga menyebabkan perkara seperti ini berlaku.

"Ketua Menteri (Hajiji) dan kerajaan negeri berusaha membantu rakyat tetapi perkara ini bukan sahaja menyusahkan kerajaan, paling utama susahkan rakyat kerana bangunan diperlukan rakyat tidak dapat dibina atas kecuaian dan kelalaian, kita tidak mahu Sabah semakin mundur akibat perkara seperti ini," katanya.

Beliau berkata tahun ini juga kerajaan negeri sedang berusaha memastikan semua klinik kesihatan berstruktur kayu dinaik taraf kepada struktur konkrit, justeru memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan ia dicapai.

-- BERNAMA