KUCHING: Seorang wanita didenda RM4,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran dengan menanam bayi lelaki yang baru dilahirkannya, pada Januari lepas.
Kui Chai Hui, 24, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Ling Hui Chuan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Advertisement
Tertuduh yang belum berkahwin mengaku bersalah menyembunyikan kelahiran bayi pramatang ketika usia kandungan tujuh bulan di kawasan hutan kecil berhadapan rumahnya di Taman Malihah pada 28 Jan lepas.
Mengikut fakta kes, Kui telah pergi ke Hospital Umum Sarawak selepas mengalami sakit perut dan pendarahan sebelum memaklumkan kepada doktor yang menjalankan pemeriksaan bahawa dia telah melahirkan anak.
Wanita itu mengaku melahirkan bayi berkenaan di bilik air rumahnya dan menyatakan bayi dilahirkan itu telah meninggal dunia.
Oleh kerana panik dengan kelahiran tidak dijangka itu, tertuduh bertindak menanam bayi tersebut.
Laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu dan siasatan lanjut membawa kepada penemuan mayat bayi yang ditanam di hadapan kawasan kediaman tertuduh.
Kui yang membayar denda tersebut diwakili peguam Milton Foo, manakala kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fauzulutfi Suriani.
-- BERNAMA