Tandas stesen minyak di Sentul meletup selepas lelaki berjaket hitam keluar

Bernama
Mei 25, 2014 14:26 MYT
Gan Kong Meng - Gambar Fail
Satu letupan kuat menggegarkan tandas lelaki sebuah stesen minyak di Jalan Jambu Jerteh, Batu 6, Jalan Kepong, Sentul di sini hari ini, dipercayai akibat bahan mercun yang diletakkan oleh seorang lelaki.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng berkata kejadian berlaku 3.55 petang, sejurus selepas seorang lelaki yang memakai topi keledar bertutup penuh keluar dari tandas itu.
"Pihak kami menerima panggilan kira-kira pukul 4.40 petang tadi. Setibanya di sana kami melihat tiga cermin di dalam tandas pecah termasuk pam tandas dan siling," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Katanya berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, suspek itu memakai jaket hitam dan membawa beg sandang memasuki tandas berkenaan.
Letupan berlaku kira-kira seminit selepas suspek keluar, katanya.
Beliau berkata siasatan awal polis menemukan serpihan tin minuman yang dibalut dengan pita pelekat.
Pihak forensik sedang membina semula bahan letupan itu, namun berdasarkan siasatan awal polis percaya tin itu diisi dengan bahan mercun yang banyak, katanya.
"Setakat ini polis masih belum mengenal pasti motif sebenar kejadian itu," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 atau 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
#Gan Kong Meng #jenayah #letupan #Sentul