MALAYSIA

'Tangan kami terlepas...saya yang lemas, dia yang meninggal dunia'

Sinar Harian 27/12/2025 | 05:15 MYT
Mohamad Syakir Iqbal (kiri) pilu ketika menceritakan detik tragis menyaksikan adiknya, Mohamad Syafi Irsyad dihanyutkan arus Sungai Ulu Sat selepas terjun untuk menyelamatkannya. - Foto Sinar Harian
MACHANG: “Tangan kami terlepas, adik dihanyutkan arus deras sungai. Saya yang lemas, dia yang meninggal dunia.”


Ringkasan AI
  • Mohamad Syakir Iqbal Mohd Shaharudin, 15 tahun, menceritakan detik tragis ketika adiknya, Mohamad Syafi Irsyad, 13 tahun, dihanyutkan arus deras Sungai Ulu Sat di Kampung Belukar.
  • Kejadian berlaku ketika Mohamad Syakir terjatuh ke sungai dan adiknya cuba menyelamatkannya, namun terhanyut akibat arus yang kuat.
  • Jenazah Mohamad Syafi Irsyad dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banggol Judah, manakala abangnya selamat walaupun terlibat dalam tragedi itu.


Itu luahan pilu Mohamad Syakir Iqbal Mohd Shaharudin, 15, ketika mengimbau detik tragis menyaksikan adiknya, Mohamad Syafi Irsyad, 13, dihanyutkan arus deras Sungai Ulu Sat di Kampung Belukar di sini pada Jumaat.

Menurutnya, ketika itu dia hanya mampu menangis dan memanggil nama Irsyad berkali-kali sehingga adiknya hilang dari pandangan mata.

Pelajar Pendidikan Khas Program Integrasi (PKPI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang itu berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama adiknya serta seorang rakan ke kawasan pintu air sungai berkenaan sekadar untuk melihat keadaan air.

"Kami bukan mandi, hanya melihat air. Saya terjatuh ke dalam sungai akibat licin ketika memanjat tiang pagar yang ada di pintu air tersebut.

"Melihat saya terjatuh, adik terus terjun untuk menyelamatkan saya. Kami sempat berpegangan tangan tapi terlepas kerana arus sungai sangat deras," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Judah di sini pada Sabtu.

Suasana pilu menyelubungi pekarangan rumah Mohamad Syafi Irsyad di Kampung Banggol Judah, Machang pada Sabtu. - Foto Sinar Harian


Mohamad Syakir Iqbal memberitahu, ketika dihanyutkan, dia sempat berpaut pada batu selama hampir setengah jam sebelum ada penduduk kampung datang menyelamatkannya dengan menggunakan tali.
Ujarnya, sepanjang di atas batu itu dia hanya mampu menangis mengenangkan Mohamad Syafi Irsyad yang telah dihanyutkan.

Sementara itu, ibu mangsa, Norzaizura Che Mat, 41, berkata, Mohamad Syafi Irsyad adalah anak keempat daripada enam beradik dan pelajar Tingkatan Satu SMK Hamzah 2, manakala Mohamad Syakir Iqbal anak ketiga.

"Arwah merupakan anak yang baik dan sentiasa bersama abangnya ke mana sahaja.

"Kebetulan pada hari kejadian saya dan suami, Mohd Shaharudin Mat Noh, 47, tiada di rumah kerana pulang ke kampung di Labok dan hanya mengetahui mengenainya pada jam 4 petang setelah dimaklum oleh sepupu," katanya.

Norzaizura menunjukkan gambar Mohamad Syafi Irsyad semasa ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Judah, Machang pada Sabtu.  - Foto Sinar Harian


Menurutnya, jenazah Mohamad Syafi Irsyad dikebumikan pada jam 11 pagi di Tanah Perkuburan Islam Banggol Judah di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Jumaat, mangsa dipercayai terjun ke dalam sungai sebaik melihat abangnya terjatuh ketika duduk di tebing berhampiran kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, siasatan awal mendapati abang mangsa terjatuh secara tidak sengaja sebelum mangsa cuba menyelamatkannya.

Katanya, abang mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada tembok penghadang air, namun mangsa dihanyutkan arus deras akibat hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan.

Selepas lima jam pencarian dilakukan, mayat remaja itu ditemukan oleh orang awam pada jam 9.40 malam pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi asal dia dikhuatiri hilang iaitu di Sungai Rawa di sini. -- Sinar Harian






#lemas #machang #adik meninggal dunia #terlepas tangan