MALAYSIA

Tangani kes buli di sekolah wajar jadi agenda utama - Lee

Bernama 27/07/2025 | 09:00 MYT
Lee berkata kes buli yang sering berlaku di sekolah memerlukan tindakan segera dan menyeluruh daripada Kementerian Pendidikan (KPM). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menangani kes buli di sekolah wajar menjadi agenda utama di peringkat nasional dan bukan sekadar isu disiplin semata-mata, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.


Ringkasan AI
  • Kes buli di sekolah perlu ditangani sebagai agenda nasional dan bukan sekadar isu disiplin, dengan tindakan menyeluruh daripada Kementerian Pendidikan bagi melindungi pelajar daripada bahaya fizikal, emosi dan psikologi.
  • Dasar antibuli yang lebih berkesan perlu dilaksanakan merangkumi pendidikan, kesedaran dan intervensi awal, serta latihan kepada guru dan pentadbir untuk mengenal pasti dan menangani kes buli secara berkesan.
  • Cadangan penubuhan pangkalan data kebangsaan bagi mengesan dan memantau kes buli disuarakan sebagai langkah jangka panjang, selain menekankan keperluan akauntabiliti, ketelusan dan penglibatan ibu bapa dalam setiap insiden yang berlaku.


Beliau berkata kes buli yang sering berlaku di sekolah memerlukan tindakan segera dan menyeluruh daripada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan pelajar dilindungi daripada bahaya fizikal, emosi dan psikologi.

"Kanak-kanak tidak sepatutnya menjadi mangsa kepada bahaya fizikal, emosi atau psikologi di dalam institusi yang sepatutnya membentuk pertumbuhan, nilai dan masa depan mereka. Kami menggesa KPM untuk memberikan tumpuan yang lebih sewajarnya bagi menangani isu buli di sekolah.

"Buli di sekolah bukan sekadar isu disiplin, tetapi masalah sosial yang serius dan boleh meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa serta merosakkan ekosistem pembelajaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa kementerian melaksanakan dasar antibuli yang lebih berkesan di semua sekolah, bukan menumpukan kepada tindakan disiplin semata-mata, malah perlu meliputi langkah pencegahan menerusi pendidikan, kesedaran dan intervensi awal.

Lee berkata guru, kaunselor dan pentadbir sekolah perlu dilatih untuk mengenal pasti tanda-tanda awal perbuatan buli, campur tangan secara berkesan dan mewujudkan budaya sekolah yang mengamalkan nilai-nilau murni seperti berbuat baik dan saling menghormati.

"Perlu ada akauntabiliti dan benar-benar telus dalam menangani setiap laporan berkaitan kes buli di sekolah. Ibu bapa perlu dimaklumkan dan dilibatkan apabila insiden buli berlaku, manakala pelajar pula tidak bimbang akan berdepan masalah jika melaporkan kes itu.

"Persekitaran sekolah yang selamat dan mendukung kesejahteraan bukan satu kemewahan, tetapi hak asas setiap pelajar," katanya.

Bagi menyokong usaha jangka panjang, Lee mencadangkan supaya satu pangkalan data kebangsaan diwujudkan bagi mengesan kes buli, memantau trend dan memastikan tindakan susulan yang sewajarnya. diambil.

"Hanya dengan menangani masalah itu menerusi strategi nasional yang lebih jelas dan berterusan, kita dapat melindungi anak-anak kita serta membantu mereka maju dan berjaya," katanya.

-- BERNAMA

#kes buli #sekolah #Malaysia #Lee Lam Thye