[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Tangguhkan pengosongan, Jawatankuasa Penduduk Kampung Sungai Baru mahu berunding dengan kerajaan

Khalis Khadir 12/09/2025 | 08:25 MYT
Surendran (tiga, kiri) mengumumkan pendirian jawatankuasa yang komited dalam usaha untuk memansuhkan Seksyen 3(1)(c) Akta Pengambilan Tanah 1960 kerana dilihat sebagai perundangan tidak adil. - Foto Astro AWANI/ Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan wakil kerajaan berhubung isu pengosongan rumah di kawasan berkenaan, seperti yang dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Penasihat jawatankuasa berkenaan, N Surendran berkata, sementara menunggu proses itu, pihaknya menuntut operasi pengosongan kawasan diberhentikan sementara.

Jelas beliau, perbincangan tidak akan berjalan dengan baik sekiranya ada elemen pengusiran.

“Tak mungkin berlaku perbincangan yang baik, sebab itu kita minta kepada kerajaan untuk campur tangan segera, minta dengan pemaju hentikan pengosongan sambil perbincangan serta keputusan yang baik dicapai.

“Saya tegaskan, kita tidak menolak pembangunan. Kita sedia berunding pada bila-bila masa termasuk cuti hujung minggu ini untuk berbincang dengan wakil kerajaan seperti seruan Datuk Seri Zahid Hamidi,” katanya menerusi sidang media bersama panel jawatankuasa berkenaan, di sini, pada Jumaat.

Antara rumah yang terkesan dengan arahan pecah pintu di Kampung Sungai Baru


Surendran menambah, perbincangan dengan wakil kerajaan seperti Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani itu sangat penting demi keadilan penduduk yang terlibat.

Dalam perkembangan sama, Surendran mendakwa, masalah yang berlaku ini susulan penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 oleh kerajaan pada tahun 2021.

“Penduduk Kampung Sungai Baru ini dianiaya dengan menggunakan akta berkenaan. Mereka ini mangsa tapi ada pihak yang seakan menjadikan penduduk ini bersalah. Mereka tidak minta tanah mereka diambil secara paksa,” dakwa Surendan yang juga penasihat Lawyers for Liberty.

Jelasnya lagi, walaupun pengambilan tanah itu dilakukan ketika pemerintahan kerajaan terdahulu, namun ia tidak bermakna kerajaan hari ini tiada tanggungiawab untuk menjernihkan keadaan.

Bagi mempertahankan hak penduduk yang terkesan, Surendran mengumumkan pendirian jawatankuasa untuk berusaha memansuhkan Seksyen 3(1)(c) Akta Pengambilan Tanah 1960.

Katanya, ia merupakan peruntukan yang membolehkan mana-mana tanah rakyat diambil bagi tujuan pembangunan walaupun bukan untuk kepentingan awam.

Susulan itu, Surendran akan memfailkan permohonan mahkamah untuk membatalkan seksyen berkenaan yang disifatkan beliau sebagai perundangan tidak adil.

Jelasnya, perkara itu turut merupakan salah satu sebab untuk kerajaan campur tangan dalam kes ini.

“Sekali lagi saya tegaskan, perbincangan terus dengan kerajaan perlu diadakan kerana ini bukan sahaja membabitkan kebajikan rakyat Kampung Sungai Baru, tetapi impak kepada negara. Seluruh negara melihat mengenai isu ini, adakah kerajaan sedia, itu pertanyaan yang kita ajukan," katanya lagi.


#Kampung Sungai Baru #N Surendran #tuntutan penduduk #Ahmad Zahid Hamidi