PUTRAJAYA: Tanggungjawab menjaga kesejahteraan rakyat Malaysia termasuk kaum India dipikul bersama semua anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan dan bukan hanya pada bahu seorang menteri mengikut kaum masing-masing, kata Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar.

Beliau berkata tanggapan bahawa nasib serta kebajikan kaum India bakal terpinggir hanya kerana beliau satu-satunya menteri mewakili kaum itu dalam Kabinet sepatutnya tidak timbul.

Sivakumar berkata selain beliau yang menganggotai Kabinet, terdapat ramai wakil kaum India di dalam Parlimen yang boleh bersama-sama membantu kerajaan membuat dasar yang seimbang tanpa meminggirkan hak mana-mana kaum.

"Tanggungjawab menyelesai masalah yang dihadapi masyarakat India bukan terletak pada bahu saya seorang, tetapi dipikul seluruh Jemaah Menteri. Kita (Kabinet) akan pastikan dalam setiap dasar yang dibuat adalah untuk rakyat tanpa meminggirkan mana-mana kaum.

"Selain Kabinet, dalam Parlimen ramai juga wakil (Ahli Parlimen) kaum India yang boleh membantu masyarakat India dan saya sendiri untuk mengetengahkan aspirasi komuniti ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang tiba di Kementerian Sumber Manusia pada 9 pagi disambut Pemangku Ketua Setiausaha KSM yang juga Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar serta anggota pentadbiran dan pengurusan tertinggi kementerian.

Beliau kemudian mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas rasmi.

Ahli Parlimen Batu Gajah itu menjadi satu-satunya wakil rakyat daripada kaum India dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mengenai perancangan serta visinya menerajui kementerian itu, Sivakumar berkata fokus utama beliau adalah berusaha menyelesaikan isu berkaitan sumber manusia dan pekerjaan selain memastikan KSM mampu menjadi kementerian yang cemerlang.

Beliau menjangkakan dalam tempoh satu hingga dua minggu diperlukan untuk bertemu dan berbincang dengan semua agensi KSM bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung pengoperasian kementerian itu secara keseluruhan.

Pada Sabtu lepas, Sivakumar bersama dua Timbalan Perdana Menteri dan 24 menteri lain mengangkat sumpah jawatan menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Pada PRU15 baru-baru ini, Sivakumar, 51, mempertahankan kerusi Parlimen Batu Gajah untuk penggal ketiga dengan majoriti 53,836 undi menewaskan wakil Perikatan Nasional Woo Cheong Yuen dan Teoh Chin Chong daripada Barisan Nasional.

-- BERNAMA