[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Tanggungjawab penyedia platform media sosial sahkan usia pengguna - Peguam

Sinar Harian 24/11/2025 | 14:00 MYT
Kata Sharen, cabaran pelaksanaan terbesar adalah bagaimana untuk mencegah ketidakpatuhan termasuk kemungkinan remaja menggunakan dokumen pengenalan orang dewasa. - Gambar Facebook Sharen Alzalip & Co.
SHAH ALAM: Larangan pembukaan akaun media sosial bagi individu bawah usia 16 tahun bukan tindakan secara langsung dikenakan ke atas pengguna, sebaliknya keperluan pengesahan umur mandatori yang diwajibkan terhadap penyedia platform.


Ringkasan AI
  • Larangan pembukaan akaun media sosial bagi individu bawah usia 16 tahun disifatkan sebagai keperluan pengesahan umur mandatori yang diletakkan pada penyedia platform media sosial.
  • Penguatkuasaan larangan ini akan dilaksanakan melalui sistem e-KYC yang menggunakan dokumen pengenalan rasmi seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID untuk mengesahkan usia pengguna sebelum pendaftaran akaun dibenarkan.
  • Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan keselamatan kanak-kanak dalam talian dan memastikan pematuhan platform media sosial terhadap syarat perundangan yang ditetapkan.


Peguam dari Tetuan Sharen Alzalip & Co, Dr Sharen Alzalip berkata, ini bermakna tanggungjawab untuk mengesahkan usia pengguna beralih sepenuhnya kepada penyedia platform media sosial.

Menurutnya, penguatkuasaan bakal dilaksanakan menurut dua undang-undang utama iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membenarkan kerajaan mengenakan syarat lesen perkhidmatan.

Selain itu, katanya, Akta Keselamatan Dalam Talian dijangka berkuat kuasa pada 2026 akan memperkukuh akauntabiliti penyedia platform dalam menguruskan kandungan dan melindungi pengguna media sosial.

"Mekanisme utama penguatkuasaan adalah melalui kewajipan sistem e-KYC. Penyedia platform perlu menggunakan dokumen pengenalan rasmi seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID untuk mengesahkan usia pengguna sebelum pendaftaran akaun media sosial dibenarkan.

"Jika platform gagal melaksana dan menguatkuasakan keperluan e-KYC, ia dianggap melanggar syarat lesen di bawah undang-undang tersebut.

"Ini boleh menyebabkan penyedia platform media sosial dikenakan denda yang tinggi atau penarikan balik lesen operasi di Malaysia," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan keselamatan kanak-kanak di ruang digital dengan larangan pembukaan akaun media sosial kepada individu bawah 16 tahun mulai tahun depan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, langkah tersebut berasaskan keputusan Kabinet bagi mengekang aktiviti jenayah siber rentas umur serta melindungi kanak-kanak daripada risiko pemangsa seksual.

Menurut jurucakap Kerajaan Perpaduan itu, pihaknya menjangkakan semua platform media sosial dapat mematuhi ketetapan baharu tersebut dalam tempoh yang ditetapkan selaras usaha memperkukuh keselamatan digital negara.

Sementara itu, Sharen berpendapat walaupun langkah sedemikian disambut baik, ia turut menimbulkan cabaran dari sudut perundangan dan pelaksanaan.

Jelas beliau, terdapat kebimbangan termasuk pematuhan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) berikutan pengumpulan data peribadi, persoalan mengenai keseimbangan sekatan dengan hak kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan keperluan takrifan undang-undang yang jelas tentang istilah 'media sosial.

Bukan itu sahaja, tambahnya, cabaran pelaksanaan terbesar adalah bagaimana untuk mencegah ketidakpatuhan termasuk kemungkinan remaja menggunakan dokumen pengenalan orang dewasa.

Peguam dari firma sama, Amer Haiqal bagaimanapun berpandangan, sekatan begini dilihat sebagai langkah tepat untuk mengawal selia tingkah laku kanak-kanak dalam talian dan melindungi golongan terbabit daripada jenayah siber.

Menurutnya, bagi kes pengabaian ibu bapa terhadap kanak-kanak, Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan hukuman untuk pengabaian fizikal dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada peruntukan khusus bagi pengabaian kanak-kanak dalam talian.

"Walaupun mereka dilindungi di bawah Kanun Keseksaan, Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, ia masih belum mencukupi untuk menangani pendedahan kepada buli siber, pengantunan siber, intai siber dan pornografi kanak-kanak.

"Sekatan ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk mengutamakan perlindungan kanak-kanak dalam ruang digital," ujar beliau. - Sinar Harian




#buli siber #media sosial #MyDigital ID #kebebasan bersuara