NATIONAL
TaniStats 'game changer' perkasa ekosistem data pertanian- Fadillah

Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 di MAEPS pada Khamis. - Foto Astro AWANI
SERDANG: Portal Sistem Statistik Pertanian Bersepadu (TaniStats) disifatkan sebagai pemacu perubahan besar atau 'game changer' dalam landskap pendataan sektor pertanian negara.
Ringkasan AI
- TaniStats sebagai pemacu perubahan: Portal Sistem Statistik Pertanian Bersepadu (TaniStats) dianggap sebagai 'game changer' dalam pendataan sektor pertanian, membantu menjana statistik tepat dan memperkukuh dasar negara berasaskan fakta.
- Pelancaran MyAgroPrice: Dashboard Harga Produk Pertanian (MyAgroPrice) dilancarkan sebagai sebahagian daripada TaniStats, memaparkan harga purata bagi 60 jenis produk pertanian untuk membantu petani dan pembuat dasar dalam pemantauan harga serta trend pasaran.
- Seruan kepada agensi berkaitan: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyeru semua agensi untuk berganding bahu dan mengamalkan perkongsian data yang terbuka, tepat, dan konsisten bagi memastikan manfaat maksimum kepada negara.
"Platform ini berpotensi menjadi game changer dalam memperkukuh tadbir urus data, meningkatkan kecekapan pengurusan, serta memperkasa pembuatan keputusan berasaskan fakta dan bukti yang lebih tepat, telus dan menyeluruh," katanya sewaktu Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 di MAEPS pada Khamis.
Fadillah turut menjelaskan bahawa pelbagai pihak berkepentingan akan mendapat manfaat daripada platform itu yang menghimpunkan paparan seperti TaniFacts, myFoodStats dan myAgrochain.
"Justeru, saya menyeru semua agensi agar berganding bahu secara kolektif dan mengamalkan perkongsian data yang terbuka, tepat dan konsisten, bagi memastikan platform ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk negara," tambahnya.
Dalam majlis sama, Fadillah turut melancarkan Dashboard Harga Produk Pertanian (MyAgroPrice) yang merupakan salah satu komponen utama di bawah TaniStats.
"Dashboard ini memaparkan harga purata bagi 60 jenis produk pertanian terpilih, meliputi tiga peringkat utama iaitu rantaian bekalan, ladang, borong dan runcit mengikut negeri bagi tempoh siri masa bulanan dari tahun 2020 hingga 2024," katanya lagi.
Jelas Fadillah, MyAgroPrice memberi nilai tambah kepada petani dengan menyediakan maklumat harga yang tepat dan boleh diakses.
"Pada masa sama, dashboard ini berperanan penting kepada pembuat dasar untuk memantau kestabilan harga, mengenal pasti trend pasaran dan merangka intervensi yang lebih bersasar demi kesejahteraan rakyat dan keterjaminan makanan negara," tambahnya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami