Tanjung Piai Memilih: Dilayan macam selebriti, Wee Jeck Seng masih tak yakin boleh menang

Firdaus Azil
November 8, 2019 06:55 MYT
Dr Wee (tengah) sedar hakikatnya BN kini merupakan pembangkang, dan itu sedikit sebanyak menjejaskan peluangnya. - Gambar fail/BERNAMA
Biarpun dilayan seolah-olah selebriti, calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng masih tidak begitu yakin untuk memenangi kembali Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai ini.
Bekas ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nenas sepenggal itu berkata, beliau sedar hakikatnya BN kini merupakan pembangkang, dan itu sedikit sebanyak menjejaskan peluangnya.
Namun, jelasnya, itu sama sekali tidak akan mengurangkan usaha beliau untuk terus berkempen dan bertemu pengundi seramai mungkin.
“Saya tak dapat pasti (untuk menang), tetapi (saya) memang kerja kuat bertungkus lumus...jadi kita merayu sangat agar pengundi di Tanjung Piai dapat membantu saya.
“Walaupun orang kenal saya...saya kena ingat saya ini pembangkang, dan susah sikit mahu berpihak pada saya. Macam mana pun selagi boleh jalan kita jalan. Kita tetap kempen jumpa orang ramai,” katanya kepada pemberita sewaktu mengadakan ‘walkabout’ di Taman Nong Chik, di sini awal pagi ini.
Semalam, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, walaupun pihaknya melihat sentimen dari kaum Cina agak negatif terhadap Pakatan Harapan, namun ia tidak bermaksud mereka tidak akan menyokong Karmaine Sardini.
#ADUN #Ahli Dewan Undangan Negeri #Barisan Nasional #Pakatan Harapan #pilihan raya kecil #PRK Sungai Besar #Tanjung Piai Memilih