PUTRAJAYA: International Advisory Committee for Biosphere Reserves (IACBR) memberi tempoh sehingga 30 Disember 2022 untuk Kerajaan Negeri Pahang membuat penambahbaikan terhadap laporan semakan berkala Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, setakat ini kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengukuhkan pengurusan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini (TCBR) selaras dengan cadangan IACBR.

Jelasnya, ia termasuklah mewartakan Hutan Simpanan Kekal Chini, melaksanakan aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu dan menghentikan aktiviti melombong di tasik berkenaan. 

UNESCO | Tasik Chini tidak lagi penuhi kriteria Rizab Biosfera

Selain itu, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan Majlis Biodiversiti Pahang bagi mengukuhkan tadbir urus Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini.

“KeTSA sentiasa menyokong komitmen dan usaha Kerajaan Negeri Pahang dalam memelihara Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini.

“Bagi tujuan ini, KeTSA telah menyediakan peruntukan sebanyak lebih RM1.5 juta sejak tahun 2016 bagi melaksanakan pelbagai kajian di Tasik Chini termasuk kajian kualiti air.

BACA: KeTSA tidak akan keluar sebarang kelulusan perlombongan di Tasik Chini

“Selain itu, KeTSA melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sedang melaksanakan program pemulihan dan penghutanan semula sekitar TCBR pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM800,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Takiyuddin, Kerajaan Negeri Pahang telah menyediakan laporan berkala Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini seperti ditetapkan UNESCO dan kali terakhir menghantarnya kepada Sekretariat Man and the Biosphere (MAB) pada tahun lepas.

Tapak Rizab Biosfera adalah tapak yang ditubuhkan oleh sesebuah negara bagi mempromosikan pembangunan mampan dan diiktiraf di bawah program MAB, Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

BACA: Pemangku Raja Pahang mahu aktiviti perlombongan di Tasik Chini dihentikan

Untuk rekod, penyertaan Malaysia dalam program MAB bermula pada 26 Mei 2009 melalui pengiktirafan Tasik Chini sebagai Tapak Rizab Biosfera pertama di Malaysia diikuti dengan Banjaran Crocker, Sabah pada 12 Jun 2014 dan Bukit Bendera, Pulau Pinang pada 15 September 2021.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan Tasik Chini tidak lagi memenuhi kriteria Rizab Biosfera dengan menyatakan kawasan hutan yang baru dibersihkan dengan penukaran tanah yang intensif telah berlaku, selain mengesan pembukaan semula lombong lama di lokasi sekitarnya.

Laporan itu mendakwa, setahun selepas rizab biosfera ditetapkan, beberapa bekas tapak perlombongan yang terletak di titik kecerunan tinggi (Bukit Ketaya dan Bukit Chini) dibuka semula dan berkembang.

Menurut laporan itu lagi, ia mengakibatkan kesan buruk alam sekitar seperti pemendapan, kemerosotan kualiti air dan kemerosotan tebing sungai.