MALAYSIA

Tapak simpan lori, minyak terbakar, penduduk diarah kosong kawasan

Astro Awani 21/06/2025 | 08:51 MYT
Penduduk sekitar diarahkan mengosongkan kediaman dan bekalan elektrik diputuskan sebagai langkah keselamatan.
JOHOR BAHRU: Sebuah tapak penyimpanan lori dan minyak enjin di Taman Megah Ria di sini, terbakar hari ini, menyebabkan kepulan asap hitam tebal setinggi hampir 100 meter kelihatan dari jauh.

Ringkasan AI
  • Tapak penyimpanan lori dan minyak enjin di Taman Megah Ria terbakar sekitar jam 12.30 tengah hari, menyebabkan kepulan asap hitam setinggi hampir 100 meter dan beberapa siri letupan kecil berlaku.
  • Penduduk sekitar diarahkan mengosongkan kediaman dan bekalan elektrik diputuskan sebagai langkah keselamatan, dengan operasi pemadaman melibatkan 34 anggota bomba dari pelbagai balai serta penggunaan 14 tong buih.
  • Penduduk tempatan menyifatkan kejadian itu sebagai menakutkan dan pertama kali berlaku di kawasan tersebut, dengan kebimbangan terhadap keselamatan susulan letupan dan api marak yang cepat merebak.

Kebakaran dipercayai bermula sekitar jam 12.30 tengah hari sebelum merebak dengan pantas susulan keadaan angin kencang dan cuaca kering di kawasan berkenaan.
Susulan insiden itu, penduduk di sekitar Jalan Kempas 7 yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian telah diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.
Bekalan elektrik ke kawasan perumahan berhampiran turut diputuskan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
Tinjauan wakil Astro AWANI sekitar jam 2 petang mendapati berlaku beberapa letupan kecil, selain kelihatan tong-tong dipercayai berisi minyak meletup dan melambung tinggi akibat tekanan haba.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, mereka menerima panggilan kecemasan pada 12.54 tengah hari dan jentera pertama tiba di lokasi pada 1.06 tengah hari.
"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi kejadian didapati benar berlaku kebakaran melibatkan kawasan penyimpanan lori dan minyak enjin lori.
"Anggaran awal kemusnahan akibat kebakaran sebanyak 60 peratus. Keadaan angin yang kuat mengakibatkan kebakaran merebak ke kawasan penyimpanan minyak terpakai yang tidak beroperasi," menurut kenyataan itu.
Menurut bomba, tindakan awal memadam kebakaran menggunakan dua aliran sepanjang 1,200 kaki dengan dua pancutan dari jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, dua aliran 700 kaki dan satu pancutan dari jentera BBP Johor Jaya, serta satu aliran 600 kaki dan satu pancutan dari jentera PBS.
Bomba memaklumkan sumber air diperoleh daripada tangki jentera, tangki air serta pili bomba berhampiran dan sebanyak 14 tong buih turut digunakan dalam usaha pemadaman.
Seramai 34 anggota terlibat dalam operasi membabitkan keanggotaan dan aset dari BBP Pasir Gudang, Johor Jaya, Tebrau, Kota Tinggi, Larkin selain Pasukan Bomba Sukarela Mount Austin dan Ulu Tiram.
Sementara itu, Bernama melaporkan: penduduk, Zulkarnain Mohamad Nor, 63, berkata kebakaran seumpama itu yang pertama kali berlaku di kawasan tersebut amat membimbangkan kerana rumahnya terletak hanya kira-kira 50 meter dari lokasi terlibat.
"Kejadian bermula lebih kurang 11.30 pagi ke atas. Saya nampak ada kepulan asap tebal tapi tidak lama selepas itu, ia semakin merebak dengan sangat cepat. Mungkin ada minyak tumpah di situ disebabkan oleh stor minyak namun saya tidak pasti.
"Ada beberapa lori yang diletakkan di kawasan berkenaan jadi lori-lori itu sudah habis terbakar dan itu berkemungkinan menyebabkan minyak keluar dengan banyak. Memang sangat risau kerana kita bimbang insiden seperti di Putra Height berlaku di sini. Bomba juga sudah mengarahkan penduduk keluar (dari rumah)," katanya yang telah menetap selama 20 tahun di kawasan itu.
Suri rumah Elesha Alwi, 42 tahun, menyifatkan kejadian itu amat menakutkan kerana terdapat beberapa siri letupan kuat.
"Kebakaran itu (berlaku) kira-kira 1 tengah hari tetapi sekitar 12 lebih tengah hari sudah dengar bunyi dentuman. Tidak sangka pula dalam 1 tengah hari sudah nampak api marak tinggi dengan kepulan asap hitam.
"Saya bersama tiga orang anak di dalam rumah memang takut dan risau. Polis pun sudah arahkan kami untuk keluar dari rumah. Tadi saya dan keluarga keluar ikut pintu belakang," katanya.
#kebakaran besar #kilang minyak #video tular #Johor