KUALA LUMPUR:Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) kini dalam perancangan mewujudkan lebih banyak Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sebagai sumber air alternatif di seluruh negera.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menerusi projek itu dijangka dapat memastikan rizab margin air terawat sebanyak 20 peratus, terutamanya di negeri Selangor.

"Pihak Kementerian dalam perancangan mengadakan Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) bererti kalau berlaku pencemaran di sumber utama kita bererti kita akan terus hentikan tugas LRA dan kita ambil kepada TAPS.

"Bererti bekalan air kepada pengguna tidak terjejas. TAPS ini ada beberapa... kita dah buat tapi kita akan perbanyakkan dalam RMK-12. Jika berlaku pencemaran kita hentikan. Kita ada alternatif (sumber) air itu yang jangka panjang kementerian akan susun," katanya dalam sidang media pada Isnin.

BACA: Lagi kes pencemaran Sungai Selangor, 1,292 kawasan alami gangguan bekalan air

Malah, KASA sedang memohon peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2021 dengan meningkatkan alat pengesanan pencemaran di muka sauk di sungai berhampiran LRA.

Ia dijangka dapat mengesan sebarang pencemaran air lebih awal dan mengurangkan kos pembaikan yang terpaksa ditanggung.

"Untuk makluman dari segi teknologi kita dah minta bajet untuk tambahan kerana sumber air kita takkan pasang tamabahan kepada alat pengesan pencemaran sebelum masuk ke muka sauk, Bajet 2021.

"Ini kita akan tambah lagi supaya kita dapat detect awal sebelum air tercemar masuk dalam loji, kos kita bila masuk loji kosnya besar sebab itu kita kena hentikan tugas LRA dan terpaksa rawat semuanya. Sebab itu kita tambah alat-alat ini," katanya.

Terdahulu, Air Selangor dalam satu kenyataan media pada Isnin memaklumkan gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku melibatkan lebih satu juta akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, kuala Selangir, hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Ia berikutan LRA Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas ekoran terdapat pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi. Ketika ini proses pencairan dan flushing bahan pencemaran sedang dilakukan.