MALAYSIA

Tarif 25 peratus AS ke atas negara rakan dagang Iran satu penjajahan - Mohamad Hasan

Pia Ernadya 17/01/2026 | 10:06 MYT
Mohamad berkata, langkah itu jelas memporak-perandakan ekonomi global dan menjejaskan kestabilan perdagangan antarabangsa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenakan tarif 25 peratus terhadap negara yang berdagang dengan Iran disifatkan sebagai satu bentuk “penjajahan baharu”.


Ringkasan AI
  • Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenakan tarif 25 peratus terhadap negara yang berdagang dengan Iran disifatkan sebagai bentuk "penjajahan baharu" oleh Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan.
  • Langkah tersebut dipandang memporak-perandakan ekonomi global dan menjejaskan kestabilan perdagangan antarabangsa, memecahkan keseimbangan dunia dari segi politik dan perdagangan.
  • Malaysia tidak terjejas secara langsung kerana tidak berdagang terus dengan Iran, tetapi melalui pihak ketiga sebagai perantara.


Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun Trump mempunyai hak untuk melaksanakan dasar tersebut, langkah itu jelas memporak-perandakan ekonomi global dan menjejaskan kestabilan perdagangan antarabangsa.

“Kita kesal kerana perdagangan yang bebas dijadikan sebagai senjata untuk menekan, saya rasa ini merupakan suatu bentuk penjajahan baharu.

"Kita tak mahu ini dilakukan secara berleluasa, melainkan terdapat ketidakadilan dalam hubungan kedua-dua negara (Iran dan Amerika),” katanya dalam sidang media di Laman Media Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Sabtu.

Trump sebelum ini mengumumkan bahawa negara yang berdagang dengan Iran akan dikenakan tarif 25 peratus berkuat kuasa serta-merta, langkah yang dilihat bertujuan memberi tekanan ke atas Tehran susulan protes antikerajaan yang meragut lebih 600 nyawa termasuk pihak berkuasa.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, tindakan tersebut telah memecahkan keseimbangan dunia, bukan sahaja dari segi politik tetapi juga perdagangan.

“Bila Presiden Trump buat begitu, dia memecahkan equilibrium dunia. Equilibrium politik dah berceramuk, equilibrium perdagangan pun dah beramuk.

"Kita dulu ada World Trade Organization (WTO), tetapi WTO tidak lagi dijadikan landasan atau platform untuk perdagangan antarabangsa. Jadi kita kesal, dan kita mahu supaya sebarang tindakan dilakukan secara berhati-hati,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamad menegaskan Malaysia tidak terjejas secara langsung kerana negara itu tidak berdagang terus dengan Iran, sebaliknya jual beli dilakukan melalui pihak ketiga.

“Kita dah lama tak berdagang dengan Iran. Kita menjual barang, dia beli barang kita tapi melalui third party," tambahnya.

#tarif AS #Iran #rakan dagang Iran #Malaysia