MELAKA: Tarif air baharu bagi pengguna di Melaka diselaraskan kepada purata 16 sen bagi setiap meter padu atau 13.9 peratus berkuat kuasa 1 Feb ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusof berkata pelarasan tarif baharu itu melibatkan 297,000 akaun pengguna domestik dan 46,000 akaun bukan pengguna domestik, selepas kali terakhir dilaksanakan pada April 2011.

Beliau berkata pelarasan itu adalah keempat terendah berbanding negeri lain iaitu 16 sen setiap meter padu.

"Pelarasan ini adalah bagi membolehkan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) mengatasi perubahan kos elektrik disebabkan oleh surcaj pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) oleh Tenaga Nasional Berhad," katanya pada sidang media pelarasan tarif air di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.

Menurut Ab Rauf, meskipun tarif air diselaraskan kepada purata 27 sen setiap meter padu bagi penggunaan 0 hingga 20 meter padu, ia tidak akan menjejaskan sejumlah 150,000 pengguna domestik berhemah (kediaman) yang dijangka mengalami peningkatan bil minimum iaitu RM2.70 hingga RM5.40 sebulan.

Beliau berkata SAMB akan menggunakan hasil diperoleh daripada pelarasan tarif baharu itu untuk membiayai projek-projek menaik taraf dan penambahbaikan sistem perkhidmatan bekalan air Melaka yang mencecah RM290 juta setahun.

"Diharapkan pelarasan tarif air ini akan menjadikan kerajaan negeri dan SAMB lebih komited dalam memastikan sistem bekalan air di negeri ini tidak menganggu perancangan pembangunan yang melibatkan sektor pelancongan dan pelabur ke negeri ini," katanya.

Pada 17 Jan lepas, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan tarif air baharu di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Labuan berkuat kuasa pada 1 Feb depan.

Pelarasan tarif air domestik itu melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

-- BERNAMA