MALAYSIA

Tarif AS: Malaysia ada sebulan untuk rundingan lanjut, yakin diberi pertimbangan wajar - Anwar

Firdaus Azil 10/07/2025 | 11:16 MYT
Anwar bertemu Rubio di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia masih mempunyai ruang untuk rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif 25 peratus yang dikenakan kepada negara ini.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan Malaysia masih mempunyai ruang untuk rundingan dengan Amerika Syarikat berhubung tarif import 25 peratus yang diumumkan oleh Presiden Trump, selepas pertemuan dengan Setiausaha Negara AS Marco Rubio.
  • Rubio memaklumkan bahawa surat penetapan tarif itu bersifat umum dan Malaysia mempunyai tempoh sebulan untuk mengemukakan pandangan serta rundingan lanjut.
  • Malaysia tersenarai bersama Jepun, Korea Selatan dan Kazakhstan sebagai negara yang akan dikenakan tarif baharu mulai 1 Ogos, menandakan fasa baharu dalam tindakan perdagangan AS terhadap rakan dagang utama.


Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Setiausaha Negara AS, Marco Rubio sendiri, dalam pertemuan hari ini.

Perdana Menteri berkata, Rubio memaklumkan bahawa surat berkenaan penetapan tarif import 25 peratus kepada Malaysia adalah surat umum dan masih ada ruang untuk rundingan.

“Perjumpaan dengan Setiausaha Negara Rubio itu bermanfaat kerana, pertamanya kita bangkitkan soal tarif Presiden Trump. Dia menyatakan bahawa surat itu surat secara umum tapi masih punyai waktu selama satu bulan untuk runding.

“Dan dia tahu bahawa Malaysia adalah negara perdagangan yang utama dengan Amerika di rantau ini, dan dia akan berikan pertimbangan, dan kita akan kemukakan pandangan kita,” katanya lagi.

Justeru, Anwar menzahirkan keyakinan bahawa AS akan memberi pertimbangan yang sewajarnya dalam rundingan berkenaan.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas selesai mengadakan pertemuan dengan Rubio di Bangunan Parlimen, pada Khamis.

Setiausaha Negara AS itu berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 yang berlangsung antara 8 hingga 11 Julai.

Pada 8 Julai lepas, Malaysia tersenarai antara negara yang akan dikenakan tarif import sebanyak 25 peratus oleh Amerika Syarikat susulan pengumuman terbaharu Trump sekali gus menandakan permulaan fasa baharu dalam siri tindakan perdagangan terhadap beberapa negara rakan dagang utama Washington.

Dalam kenyataan rasmi yang dimuat naik ke platform Truth Social, Trump mengumumkan, kadar tarif baharu 25 peratus itu akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos, melibatkan barangan dari Malaysia, Jepun, Korea Selatan dan Kazakhstan dengan kadar berbeza dikenakan ke atas negara lain.



#Anwar Ibrahim #tarif AS #Donald Trump #Malaysia #terkini