[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Tarif : Malaysia sedia laras strategi eksport minyak sawit - Johari

Bernama 18/04/2025 | 15:00 MYT
Johari (tengah) mencuba aiskrim perisa baharu KitKat yang diperbuat daripada koko dari Borneo selepas majlis Menandatangani MoU antara MSPO dan Nestle Malaysia hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia kekal optimis dan bersedia melaraskan strategi eksport minyak sawit sebagai reaksi terhadap langkah Amerika Syarikat (AS) mengenakan kadar tarif baharu, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata tarif eksport itu yang 10 peratus bagi tempoh penangguhan selama 90 hari, adalah selaras dengan kadar ke atas Indonesia yang turut memaparkan pengurangan signifikan berbanding 24 peratus sebelum ini manakala Indonesia pada 32 peratus.
"Pasaran AS bukanlah satu-satunya tumpuan kita. Apa lebih penting adalah kita terus menghasilkan produk-produk yang berkualiti tinggi.
"Syarikat-syarikat antarabangsa seperti Nestle bukan setakat mencari harga lebih rendah, tetapi mengutamakan kualiti bagi menjamin reputasi jenama mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman antara pihak Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Nestle Malaysia di sini, hari ini.
Johari berkata nilai eksport Malaysia dijangka mencecah RM21 bilion pada tahun ini dengan produk minyak sawit menyumbang sebanyak RM4.9 bilion.
Beliau berkata eksport getah, termasuk sarung tangan menyumbang RM8.2 bilion manakala perabot RM6.5 bilion dan produk berasaskan koko seperti lemak koko menyumbang RM1.6 bilion.
"Kita juga perlu maklum bahawa AS bukan satu-satunya pasaran Malaysia, malah kita tidak boleh bergantung kepada satu pasaran tunggal. Sebarang lebihan eksport boleh dihantar ke pasaran-pasaran lain," katanya.
Sehubungan itu, Johari menggesa pengeksport lain untuk memberi lebih penekanan terhadap usaha penghasilan produk-produk berkualiti tinggi pada harga kompetitif untuk mengukuhkan kedudukan di pasaran global.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan komitmen kerajaan terhadap aspek kemampanan dan keterangkuman dalam rantaian nilai minyak sawit negara.
Ini termasuk menekankan peranan kira-kira 450,000 pekebun kecil yang juga nadi sektor itu dan tidak harus dikecualikan daripada inisiatif kemampanan.
"Tidak sepertimana beberapa skim pensijilan yang melangkaui pekebun kecil, MSPO sebaliknya meletakkan golongan itu sebagai elemen penting dan kerajaan turut menyokong mereka dengan menampung kos audit pensijilan," katanya.
-- BERNAMA
#audit pensijilan #minyak sawit #pekebun kecil #pasaran global