MALAYSIA
Tarif naik bukan bererti masalah air di Negeri Sembilan selesai serta-merta - Aminuddin

Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelarasan tarif air sebanyak tujuh peratus bagi pengguna domestik perlu dilaksanakan bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat. - Gambar fail
SEREMBAN: Kenaikan tarif air di Negeri Sembilan tidak bermaksud segala masalah berkaitan paip pecah, tangki rosak dan gangguan bekalan air akan dapat diselesaikan secara serta-merta.
Ringkasan AI
- Kenaikan tarif air sebanyak tujuh peratus di Negeri Sembilan tidak menjamin penyelesaian segera terhadap isu paip pecah, tangki rosak dan gangguan bekalan air, kerana pelaksanaan penyelenggaraan masih bergantung kepada perancangan berfasa dan keutamaan kawasan.
- Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) telah membelanjakan sekitar RM20 juta untuk kerja baik pulih dan penggantian paip lama, namun jumlah itu masih tidak mencukupi; permohonan tambahan sebanyak RM100 juta telah dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan.
- Negeri Sembilan merupakan antara 10 negeri yang memohon semakan semula tarif air kepada SPAN, dengan pelarasan terakhir tarif domestik berlaku pada Februari tahun lalu melibatkan kenaikan antara 16 sen hingga 24 sen setiap meter padu.
“Kita masih perlukan perancangan berfasa mengikut keperluan, keutamaan kawasan dan kedudukan kewangan semasa,” katanya ketika mengulas pelarasan tarif air di Negeri Sembilan.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebelum ini mengesahkan telah menerima permohonan bagi menyemak semula kadar tarif perkhidmatan bekalan air daripada operator perkhidmatan di 10 negeri di bawah kawal selia agensi berkenaan.
Antara negeri yang terlibat dalam permohonan semakan tarif tersebut ialah Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) telah membelanjakan sekitar RM20 juta setakat ini bagi kerja baik pulih dan penggantian paip lama, namun jumlah tersebut masih belum mencukupi untuk menampung keperluan di seluruh negeri.
“RM20 juta itu nampak besar, tetapi kos penggantian paip sangat tinggi. Ia tidak cukup untuk selesaikan masalah di semua tempat dalam masa singkat. Kalau kawasan itu terlalu teruk, kita akan dahulukan.
“Kita juga telah memohon peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan lebih banyak kerja penyelenggaraan dan penggantian infrastruktur air di negeri ini,” katanya.
Untuk rekod, kali terakhir pelarasan tarif air bagi kategori domestik di Negeri Sembilan dibuat pada 1 Februari tahun lalu, melibatkan kenaikan sebanyak 29 peratus iaitu antara 16 sen hingga 24 sen bagi setiap meter padu. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami