NATIONAL
Tarif Trump: ASEAN perlu capai kata sepakat sebelum rundingan dimulakan - Amir Fareed
Amir berkata adalah penting untuk kesemua pemimpin ASEAN memikirkan impak jangka pendek dan panjang sekiranya pintu rundingan dibuka oleh Trump. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Negara-negara dalam blok ASEAN perlu mencapai kesepakatan sebelum memberi sebarang respon terhadap pengumuman tarif timbal balik yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, minggu lalu.
Menurut Pengarah Strategi KRA Group, Amir Fareed Rahim, kesepakatan ini penting bagi mengimbangi perbezaan tarif timbal balik yang dikenakan terhadap kesemua sepuluh negara blok itu.
‘’Kita tahu pada hari Khamis Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN akan bertemu untuk mewujudkan common position, ini adakah boleh disepakati walaupun setiap negara dalam rantau ASEAN ini sedang cuba untuk berhubung secara langsung dengan AS.
‘’Penting juga untuk negara-negara ASEAN ini mengukuhkan common position misalnya berapa apakah target kalau nak berunding, apakah sasaran pengurangan tarif yang boleh dijadikan KPI untuk ASEAN.
‘’Ini kerana jurangnya berbeza contohnya Vietnam dengan 46 peratus dan Kemboja 49 peratus serta Singapura minimum 10 peratus jadi adakah kita sebagai ASEAN ini gembira kalau secara keseluruhan setiap negara ASEAN mendapat pengurangan lima peratus misalnya.
‘’Tetapi ini semua tidak boleh dilakukan dengan terburu-buru kerana ruang rundingan belum dibuka sepenuhnya tetapi signal sudah diberi oleh pentadbiran Trump,’’ katanya.
Selain itu, Amir menambah adalah penting untuk kesemua pemimpin ASEAN memikirkan impak jangka pendek dan panjang sekiranya pintu rundingan dibuka oleh Trump.
Malah pemimpin ASEAN juga perlu bersedia mendepani situasi sekiranya pintu rundingan tidak dibuka untuk negara blok ini berunding mengenai tarif timbal balik tersebut.
Pada Rabu lepas, pentadbiran Trump umum mengenakan tarif timbal balik 24 peratus ke atas import dari Malaysia dalam gelombang perang perdagangan global.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan buat masa ini meskipun pelaksanaan tarif oleh AS memandangkan ekonomi negara yang kekal berdaya tahan.
Anwar juga menegaskan Malaysia tidak akan memperkenalkan tarif tindak balas terhadap AS.