NATIONAL
Tarif Trump: Nilai semula dasar, tingkatkan hasil kerajaan - Pakar
IRWAN SHAH: Kita kena buat pindaan kepada dasar sedia ada, selepas itu kita laksana dasar lebih spesifik dan pastikan ia mengkhususkan kepada pemerkasaan dan kebajikan rakyat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menilai semula dan melakukan pindaan kepada dasar serta polisi ekonomi sedia ada susulan perubahan dasar perdagangan yang dilaksanakan Amerika Syarikat (AS) ketika ini.
Felo Bersekutu Kanan, Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Univesiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin berpandangan, antara yang perlu diteliti semula adalah sasaran pencapaian Kerangka Ekonomi Madani.
"Kita tahu bahawa melalui kerangka Ekonomi Madani, kita ada beberapa dasar lain seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
"Segala dasar ini akan berlaku semasa pentadbiran Presiden AS Donald Trump.
"Jadi kita (Malaysia) kena buat pindaan kepada dasar sedia ada dan selepas itu kita laksana dasar lebih spesifik.
"Pastikan ia mengkhususkan kepada pemerkasaan dan kebajikan rakyat, reformasi struktur seperti reformasi perlindungan sosial juga perlu difikirkan," katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Beliau mengulas perkara berkenaan susulan pelaksanaan tarif timbal balik oleh AS dan bagaimana kerajaan harus respon kepada situasi tidak menentu tersebut.
Mengulas lanjut, beliau akui wujudnya kebimbangan dalam kalangan rakyat berkenaan hasrat kerajaan melaksanakan penyelarasan subsidi RON95.
Justeru beliau berpandangan, kerajaan perlu melihat bagaimana hasil kerajaan dapat ditambah, tanpa memberi tekanan dan beban yang tinggi kepada rakyat.