NATIONAL

Tarif Trump: Rundingan rasmi dengan USTR esok - Tengku Zafrul

Hasimi Muhamad 05/05/2025 | 10:00 MYT
Tengku Zafrul (foto) berkata, MITI telah melantik Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Mastura Ahmad Mustafa sebagai ketua perunding. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengadakan rundingan secara rasmi dengan Amerika Syarikat (AS) mulai esok, berhubung tarif timbal balik yang dikenakan terhadap negara ini.


Ringkasan AI
  • Malaysia akan mengadakan rundingan rasmi dengan AS mengenai tarif timbal balik mulai esok.
  • MITI melantik Mastura Ahmad Mustafa sebagai ketua perunding untuk rundingan tersebut.
  • Objektif utama rundingan adalah untuk mencapai sifar tarif ke atas barangan Malaysia.


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, MITI telah melantik Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Mastura Ahmad Mustafa sebagai ketua perunding.

"Saya nak buat pengumuman di sini kita dah tandatangani perjanjian kerahsiaan (NDA) supaya Puan Mastura sebagai ketua perunding akan memulakan rundingan esok pagi dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR)," katanya dalam sidang akhbar di bilik media di Parlimen, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, AS telah membuat empat tuntutan kepada Malaysia dalam rundingan yang dijalankan sebelum ini.

Ia termasuk perbincangan mengenai halangan bukan tarif, defisit perdagangan, melindungi teknologi AS, serta pelaburan dalam sektor mereka.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata rundingan yang dijalankan dengan AS bukan hanya memfokuskan kepada usaha untuk mengurangkan kadar tarif sebanyak 24 peratus, sebaliknya menyasarkan sifar tarif.



Menurut beliau, perbincangan awal meliputi isu-isu teknikal yang akan dipersetujui oleh Kuala Lumpur-Washington, selain memfokuskan kepada sektor-sektor penting dalam negara.

"Dalam perbincangan kita dengan pihak AS, kita menyatakan objektif utama pertemuan adalah bukan sahaja nak kurangkan tarif, tetapi kita nak pergi kepada 'zero'.

"Kalau boleh tidak ada tarif dikenakan ke atas negara kita dan dalam rundingan yang akan bermula, kita juga meneruskan objektif kita supaya kita dapat sekurang-kurangnya mengurangkan.

"Tetapi objektif utama ialah nak memastikan negara kita tidak dikenakan tarif terutama dalam sektor-sektor tertentu dan penting bagi negara kita," tambah beliau.

Tengku Zafrul berkata persetujuan untuk AS mengurangkan atau mengenakan sifar tarif kepada Malaysia bergantung kepada situasi menang-menang.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa pendekatan Kerajaan Madani dalam mendepani tarif timbal balik AS adalah berhati-hati tetapi tegas berpandukan prinsip dan fakta.

Katanya lagi, Malaysia tidak memilih jalan mudah atau tunduk kepada tekanan, sebaliknya berunding secara berprinsip dan strategik.

AS sebelum ini mengumumkan tarif yang lebih tinggi ke atas import kepada kira-kira 60 negara, termasuk ke atas kebanyakan barangan Malaysia dengan kadar 24 peratus.

Pada 24 April lalu, Tengku Zafrul mengetuai delegasi untuk bertemu dengan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer di Washington untuk membincangkan tarif timbal balik.










#Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz #MITI #Mastura Ahmad Mustafa #rundingan rasmi #tarif timbal balik