MALAYSIA
Tarif Trump: Tak kompromi dengan “garis merah”, kedaulatan negara - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul berkata, sebarang rundingan yang berlangsung tidak akan sesekali menggadai kedaulatan dan menjejaskan kepentingan negara. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan terdapat beberapa “garis merah” yang tidak akan dikompromi dalam rundingan melibatkan tarif timbal balas yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia.
Ringkasan AI
- MITI menegaskan beberapa -garis merah- dalam rundingan tarif balas AS, termasuk hak mengenakan cukai digital, undang-undang e-dagang, dan dasar perolehan kerajaan yang tidak akan dikompromi.
- Matlamat utama Malaysia ialah mengekalkan akses pasaran eksport, memodenkan ekonomi dan melindungi mata pencarian rakyat, walaupun rundingan memerlukan pengorbanan.
- Malaysia telah mengadakan lebih 25 sesi rundingan dengan AS dalam tempoh 90 hari; tarif 25% ke atas eksport Malaysia berkuat kuasa 1 Ogos, dan kenyataan tambahan cukai 10% oleh Trump belum disahkan secara rasmi.
“Kami telah membincangkan mengenai keupayaan kami untuk mengenakan cukai, termasuk cukai digital, dan itu merupakan garis merah bagi kami. Kami merasakan bahawa ia adalah hak kedaulatan kami.
“Isu berkaitan undang-undang, termasuk undang-undang jenayah berkaitan e-dagang digital yang baru-baru ini diluluskan oleh Parlimen juga merupakan antara perkara yang dibangkitkan.
“Begitu juga dengan isu perolehan kerajaan, keupayaan kerajaan untuk membuat perolehan mengikut dasar perolehan semasa. Ini adalah isu-isu yang kami anggap penting dan kami pertahankan,” kata Tengku Zafrul berkata demikian dalam sidang media di Menara MITI di sini pada Rabu.
Beliau menambah matlamat utama Malaysia adalah untuk memastikan akses pasaran eksport kekal terbuka, memodenkan ekonomi negara, dan melindungi mata pencarian rakyat.
“Rundingan sememangnya rumit dan tentu sekali memerlukan sedikit pengorbanan.
“Namun, matlamat tetap jelas untuk memastikan akses pasaran eksport kita, memodenkan ekonomi kita dan melindungi mata pencarian Malaysia untuk jangka panjang,” katanya.
Dalam tempoh 90 hari rundingan dijalankan, Malaysia ujar beliau telah mengadakan lebih 25 sesi libat urus bersama rakan sejawat dari AS.
Mengulas mengenai tambahan cukai sebanyak 10 peratus kepada negara yang menyokong BRICS pula, beliau menjelaskan ia kenyataan yang dibuat oleh Trump.
“Ada yang mengatakan 25 peratus campur 10 peratus tetapi sebenarnya hanya 25 peratus sahaja.
“Itu kenyataan yang dibuat oleh Trump dan tiada kenyataan setakat ini,” ujarnya lagi.
AS mengenakan tarif lebih tinggi sebanyak 25 peratus ke atas sebarang dan semua produk Malaysia yang dieksport ke negara itu, berkuat kuasa 1 Ogos tahun ini, berasingan daripada semua tarif sektor.
Angka tersebut merupakan satu peratus lebih tinggi berbanding dengan tarif yang diumumkan pada April lalu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami