[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Tarif Trump: Tekanan AS ke atas China beri impak signifikan kepada ekonomi ASEAN – PM Anwar

Firdaus Azil 10/04/2025 | 09:55 MYT
ASEAN perlu mengekalkan hubungan bilateral yang kukuh dengan Amerika Syarikat dan rakan dagang lain seperti China, Jepun, dan Korea Selatan. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Biarpun ASEAN boleh menarik nafas lega seketika susulan 90 hari tarif timbal balas selama 90 hari Amerika Syarikat ke atas rantau, namun situasi yang dihadapi China juga boleh memberi impak signifikan terhadap ekonomi negara anggota.

Ringkasan AI
  • ASEAN perlu mengekalkan hubungan bilateral yang kukuh dengan Amerika Syarikat dan rakan dagang lain seperti China, Jepun, dan Korea Selatan untuk melindungi ekonomi domestik.
  • Keamanan di rantau ini adalah penting untuk memastikan asas ekonomi ASEAN kekal kukuh, dengan mengekalkan hubungan baik dengan semua jiran.
  • China dianggap sebagai rakan dagang yang sangat penting dan ASEAN akan terus menangani sebarang masalah dengan China melalui cara terbaik untuk memastikan keamanan dan keselamatan serta manfaat ekonomi dan pelaburan.

Justeru, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, posisi Pemusatan ASEAN (ASEAN Centrality) memerlukan rantau ini terus mempunyai hubungan bilateral yang kukuh dan hubungan pelaburan dan perdagangan cemerlang dengan Amerika Syarikat (AS).
Pada masa yang sama, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, posisi ASEAN adalah memastikan hubungannya dengan rakan dagang seperti China, Jepun, Korea Selatan serta negara jiran kekal kuat dan telap (kukuh dan utuh)
“Mengapa? Kerana kita perlu lindungi ekonomi domestik. Dan sekali lagi, keutamaan kita ialah memberi perhatian segera untuk memastikan asas kita kekal kukuh.
“Asas kita akan kekal kukuh sekiranya kita terus memastikan keamanan di rantau ini. Dan keamanan bermaksud kita mesra dengan kesemua jiran kita. Dan seperti saya pernah sebut dan saya ulangi sekali lagi, China merupakan pihak yang sangat penting.
“Kita tidak boleh mengabaikannya. Ya ada sesetengah negara (anggota) mempunyai masalah (dengan China), tetapi kita akan terus menanganinya melalui cara yang terbaik bagi memastikan keamanan dan keselamatan. Pada masa yang sama kita harus menggapai manfaat dalam ekonomi, pelaburan, dan bidang yang berkaitan,” katanya lagi.
[TERKINI] Mesyuarat ke-12 Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN
Perdana Menteri berkata demikian sewaktu menutup Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 di ibu negara, pada Khamis.
Dalam pada itu Anwar berkata, beliau mengambil maklum setiap negara anggota mempunyai kerisauan dan isunya yang tersendiri berhubung pelaksanaan tarif Trump, namun beliau turut gembira kerana negara anggota telah mencapai konsensus untuk meningkatkan kerjasama serantau.
Beliau berkata, ia membuktikan bahawa ASEAN bukan seperti blok negara lain yang sukar untuk mencapai kata sepakat dalam menangani isu bersama, sebaliknya ASEAN sudah berdekad lamanya mampu menangani perbezaan dengan baik.
“Saya tidak nafikan kita ada isu kecil di sana sini, tetapi ia tidak sampai tahap mencetuskan rasa tidak percaya atau membawa kepada perselisihan dan permusuhan.
“Tiada ada gunanya jika kita asyik mengeluh terhadap sesuatu masalah yang sukar diselesaikan. Masalah dengan AS bukan sesuatu yang mudah, tetapi melalui perdagangan Intra-ASEAN, inisiatif Intra-ASEAN, kastam dan pelaburan, ini kita mampu, dan saya rasa kita perlu lakukannya pada tahap yang lebih pantas,” katanya lagi.
Anwar berkata, kekuatan ASEAN bukan semata-mata monetori atau ekonomi, tetapi juga kerancakan budaya setiap negara anggota.
“Ketika saya menulis buku Asian Rennaisance 25 tahun lalu, saya selalu katakan kita perlu berbangga dalam memacu ASEAN ke hadapan, sebagai fokus menjadikannya sebuah kuasa ekonomi. Tetapi ia bukan sekadar pemerkasaan ekonomi, tetapi semangat pemerkasaan budaya,” katanya lagi.
#tarif Trump #Anwar Ibrahim #Amerika Syarikat #China #ASEAN #terkini