NATIONAL
Tarif Trump: Tiada kuasa yang dapat cabar dominasi AS - Penganalisis
Dasar Trump dilihat memberi peluang kepada Malaysia untuk melonjakkan ekonominya melalui strategi nasional. - Foto Reuters
KUALA LUMPUR: Tiada kuasa besar yang dapat mencabar dominasi Amerika Syarikat dalam sektor ekonomi sehingga kini, kata Pakar Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaya, Collins Chong Yew Keat.
Ringkasan AI
- Pakar Universiti Malaya, Collins Chong Yew Keat, menyatakan bahawa dominasi ekonomi Amerika Syarikat masih sukar dicabar oleh kuasa besar lain seperti Rusia dan China, yang masih bergantung kepada inovasi teknologi dari Silicon Valley.
- Kempen dedolarisasi oleh negara BRICS tidak memberi impak besar, malah tarif timbal balik yang diperkenalkan oleh Donald Trump meningkatkan cabaran ekonomi global.
- Dasar Trump dilihat memberi peluang kepada Malaysia untuk melonjakkan ekonominya melalui strategi nasional seperti Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Menurut Chong, pelbagai percubaan yang dilakukan oleh beberapa kuasa besar seperti Rusia dan China untuk mencabar dominasi AS dalam pelbagai dimensi namun sukar untuk dilihat pencapaian mereka.
“Banyak percubaan diketuai oleh China dan Rusia untuk mencabar dominasi kuasa AS dalam pelbagai dimensi termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), cengkaman ekonomi tapi sukar untuk kita lihat pencapaian mereka,” katanya.
Selain ekonomi, Chong turut mengambil contoh dalam sektor teknologi bagaimana China masih bergantung kepada suntikan inovasi daripada Silicon Valley.
“China pun perlukan suntikan teknologi luar, suntikan sebanyak AS$400 bilion untuk produk elektronik seperti cip dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya, kempen dedolarisasi dan mewujudkan matawang dalam kalangan anggota negara BRICS hanya sekadar membuatkan tarif timbal balik yang diperkenalkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 2 April menjadi lebih tinggi.
Namun penganalisis daripada UM itu juga menilai dari sudut positif dasar Trump yang menurutnya bakal melonjak ekonomi Malaysia dari pelbagai sudut yang melibatkan pelbagai pelan strategi nasional seperti Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan sebagainya.
“Kita kena keluar dari konvensional atau kepompong lama, banyak ekonomi berasaskan ekstraktif seperti industri komoditi, sumber alam, petroleum dan sudah tentunya sektor servis yang perlu kepada suntikan teknologi daripada luar, bukan sekadar dari China,” katanya lagi.
Beliau berkongsi pandangannya semasa segmen Agenda AWANI bertajuk ‘Tarif Trump: Pintu Rundingan Terbuka, Apa Strategi Seterusnya?’ di Kuala Lumpur, pagi tadi.