Tarikan DreamWorks di Movie Animation Park Studios tidak diteruskan

Bernama
Ogos 8, 2018 21:13 MYT
MAPS telah dibuka pada 26 Jun 2017 tanpa tarikan DreamWorks. --fotoBERNAMA
Perak Corporation Bhd (PCB) pada Rabu mengumumkan anak syarikat 51 peratus miliknya tidak langsung, Animation Theme Park Sdn Bhd, (ATP) secara rasmi menamatkan Perjanjian Lesen yang dimeterai dengan DreamWorks Animation L.L.C. untuk penubuhan dan pengoperasian tarikan DreamWorks di Movie Animation Park Studios (MAPS) berkuat kuasa 1 Ogos, 2018.
Alasan untuk tidak meneruskannya disebabkan ATP dan DreamWorks tidak mencapai persetujuan untuk membuka tarikan DreamWorks kepada orang ramai pada 1 Ogos, 2018, menurut PCB dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.
ATP mempunyai pilihan untuk melanjutkan perjanjian lesen itu kepada 30 Sept, 2018 tetapi memutuskan untuk tidak melaksanakan pilihan tersebut bagi mempercepatkan pembukaan MAPS dengan segera.
MAPS telah dibuka pada 26 Jun 2017 tanpa tarikan DreamWorks.
PCB berkata ATP akan bekerjasama rapat dan dijangka menandatangani perjanjian penamatan bersama dengan DreamWorks untuk memastikan semua obligasi yang belum selesai dilaksanakan sepenuhnya agar kedua-dua pihak dapat membatalkan perjanjian itu dengan baik.
Ini termasuk mengeluarkan semua harta intelek DreamWorks daripada MAPS sebelum zon yang dikhususkan untuk tarikan DreamWorks dibuka kepada orang ramai, katanya, sambil menjelaskan zon tarikan DreamWorks kini melalui proses pengubahsuaian untuk mengeluarkan semua harta intelek DreamWorks.
Selepas proses itu selesai, ATP berhasrat untuk membuka zon tersebut dengan atau tanpa mana-mana harta intelek pihak ketiga.
Berdasarkan penyata kewangan ATP yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2017, hak harta intelek berkaitan yang diperoleh di bawah perjanjian lesen diklasifikasikan sebagai aset tidak ketara dengan nilai bawaan sebanyak RM17.46 juta.
Jumlah ini, bersama dengan inventori yang berkaitan dan anggaran pembangunan tarikan DreamWorks dalam kos kemajuan sebanyak RM15.74 juta, akan dihapus kira pada tahun kewangan semasa.
PCB berkata Lembaga Pengarahnya berpendapat keputusan itu dibuat demi kepentingan ATP, untuk memastikan keupayaannya terus beroperasi dan menjana keuntungan.
Pembukaan MAPS sepenuhnya dalam masa terdekat dijangka meningkatkan jumlah pengunjung, nilai hiburan dan pengunjung berulang ke MAPS yang akan membawa kepada hasil lebih tinggi bagi MAPS, katanya.
-- BERNAMA
#Animation Theme Park #ATP #DreamWorks #harta intelek #Maps #Movie Animation Park Studios #PCB #Perak Corporation Bhd #perjanjian lesen #persetujuan