KUALA LUMPUR: Tarikh akhir pemberian vaksin dos pertama COVID-19 bagi kanak-kanak menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) dilanjutkan dari 15 Mei kepada 31 Mei depan.

Bagaimanapun, keputusan menetapkan tarikh akhir pendaftaran dan tempahan janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera pada 8 Mei dikekalkan dan tempahan janji temu tidak akan lagi diterima selepas tarikh tersebut.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, langkah melanjutkan tarikh akhir itu mengambil kira sambutan Aidilfitri dan cuti kelepasan am yang jatuh pada tarikh akhir pemberian vaksin serta penutupan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Keputusan ini dibuat untuk memberi peluang kepada ibu bapa yang masih ingin mendapatkan vaksin COVID-19 untuk anak mereka,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi ibu bapa yang mendaftar dan membuat janji temu sebelum atau pada 8 Mei dan memilih tarikh vaksinasi sebelum atau pada 31 Mei, mereka boleh meneruskan janji temu yang dipilih.

Manakala bagi ibu bapa yang mendaftar dan membuat janji temu sebelum atau pada 8 Mei tetapi memilih tarikh vaksinasi selepas 31 Mei, janji temu dalam aplikasi MySejahtera akan terbatal secara automatik.

Sebaliknya, ibu bapa boleh membawa anak mendapatkan vaksinasi COVID-19 secara jumpa terus atau walk-in di Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagi ibu bapa yang mendaftar selepas 8 Mei pula, pautan tempahan janji temu tidak akan diberikan dalam aplikasi MySejahtera.

Bermula 16 Mei hingga 31 Mei, vaksinasi dos pertama bagi kanak-kanak yang telah berusia 5 tahun hingga bawah 12 tahun akan diberikan di Klinik KKM secara walk-in.

“Bagi ibu bapa yang telah mendaftar anak mereka sebelum 8 Mei 2022 untuk vaksinasi COVID-19 tetapi tidak mendapat pautan janji temu, mereka juga digalakkan untuk membawa anak mereka mendapat vaksinasi di Klinik Kesihatan KKM yang berdekatan secara walk-in selewat-lewatnya pada 31 Mei 2022.

“Selepas 31 Mei 2022, kanak-kanak yang telah berusia 5 tahun hingga bawah 12 tahun tidak lagi ditawarkan vaksin COVID-19 secara percuma di bawah PICKids. Mereka perlu mendapatkan vaksin COVID-19 yang ditawarkan secara berbayar di pasaran swasta,” ujar Noor Azmi lagi.