Tarikh melihat anak bulan Zulhijah 18 Jun

Sinar Harian
Jun 10, 2023 01:40 MYT
Tarikh melihat anak bulan Zulhijah bagi menetapkan Hari Raya Aidiladha adalah pada petang Ahad, 18 Jun bersamaan 29 Zulkaedah 1444 Hijriah. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Tarikh melihat anak bulan Zulhijah bagi menetapkan Hari Raya Aidiladha adalah pada petang Ahad, 18 Jun bersamaan 29 Zulkaedah 1444 Hijriah.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh 1 Zulhijah dan tarikh 10 Zulhijah iaitu Hari Raya Aidiladha yang ditetapkan melalui radio dan televisyen.
"Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Korban adalah berdasarkan rukyah dan hisab," kata kenyataan itu, pada Jumaat.
Tambah kenyataan itu lagi, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan untuk melihat anak bulan Zulhijah pada petang hari tersebut di 29 lokasi di seluruh negara.
Lokasi tersebut ialah Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.
Antara lokasi lain adalah Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, daerah Manjong, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang; Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar, Alor Setar di Kedah.
Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Mukim Merang, Setiu di Terengganu serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Kota Bharu di Kelantan.
Pusat Falak, Miri dan Teluk Bandung, Kuching; Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan di Sabah serta Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berinchang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang.
Turut menjadi lokasi melihat anak bulan itu ialah Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang, Masjid Al-Hussain Kuala Perlis, Perlis. - Sinar Harian
#anak bulan #Zulhijah #hari raya aidiladha #Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja