MALAYSIA

Taring setia: Wira berbulu di barisan hadapan negara

Madiha Abdullah 16/09/2025 | 00:00 MYT
Wira-wira negara dalam Cawangan Serigala PULADA (dari kiri) Kaiser, Bruce dan Keegan.
KUALA LUMPUR: Di sebalik rutin ketenteraan yang sering dikaitkan dengan disiplin manusia bersenjata, terselit satu unit istimewa yang menggerakkan tenaga empat kaki; Cawangan Serigala Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) yang melatih anjing tempur.


Ringkasan AI
  • Unit Anjing Tempur ATM: Ditubuhkan sejak 1971, unit ini kini memiliki 96 ekor anjing dari sembilan baka, dilatih untuk tugas pengawal, pengesan dan pencari dalam operasi ketenteraan.
  • Latihan & Prestasi Tinggi: Anjing dilatih selama enam bulan dalam tiga fasa, dengan rutin harian termasuk diet khas dan latihan enam jam sehari bagi memastikan prestasi optimum.
  • Peranan Strategik & Etika Pelupusan: Anjing tempur dianggap aset negara, berperanan penting dalam operasi seperti Op Tohoi dan Op Batang Kali; pelupusan dilakukan secara terkawal demi keselamatan maklumat ketenteraan.


Bermula pada tahun 1971 dengan hanya 12 ekor anjing, unit ini kini berkembang dengan kekuatan penuh sebanyak 96 ekor, merangkumi sembilan baka berlainan termasuk Rottweiler, German Shepherd, dan Labrador Retriever.

Kesemua anjing ini dibawa dari United Kingdom, memastikan kualiti dan ketahanan fizikal serta mental yang diperlukan untuk tugas-tugas ketenteraan.

Antara operasi yang melibatkan wira-wira berbulu ini adalah Op Tohoi (Gua Musang) pada 2015, Op Batang Kali pada 2022 dan Op Pagar II (2020).


Anjing tempur penuh disiplin

Tugas utama anjing-anjing ini bukan sekadar untuk pameran atau sekuriti biasa. Mereka dilatih untuk tiga peranan utama iaitu pengawal, pengesan dan pencari.

Ini termasuk pengesanan musuh, bahan letupan, dan unsur ancaman lain yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar manusia.

“Anjing boleh kesan kehadiran musuh sejauh 150 meter, bahkan sebelum musuh sedar kehadiran kita.

“Tidak seperti anjing biasa yang akan lepaskan (cengkaman) bila kita meronta, anjing tempur hanya akan lepaskan apabila diarahkan berbuat begitu oleh handler.

“Pendek kata, anjing-anjing ini adalah aset penting negara,” kata Penolong Ketua Cawangan Serigala, Kapten Duin Anak Tat ketika ditemui pada pameran bersempena Istiadat Pentauliahan Diraja Dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES, baru-baru ini.

Kaiser nampak manja namun jangan terpedaya kerana ia cukup berdedikasi dalam tugasan.




Latihan 6 bulan

Proses latihan anjing tempur ini dibahagikan kepada tiga fasa iaitu asas, sederhana dan penuh. Kesemua anjing diambil ketika berusia di bawah 2 tahun.

Tempoh latihan mengambil masa sekitar enam bulan dan ia merupakan satu tempoh yang cukup mencabar bukan sahaja untuk anjing, tetapi juga untuk para jurulatih.

Menariknya, konsep yang diamalkan oleh ATM bukanlah one dog, one handler seperti kebanyakan unit K9 lain.

Sebaliknya, semua anggota unit berperanan sebagai handler, bagi memastikan kesemua anjing dapat bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang ditugaskan.

"Selama enam bulan latihan itu kita jadikan dia obedient (taat), tetapi bukan mudah. Latih manusia pun banyak cabaran, apa lagi anjing. Setiap ekor ada perangai masing-masing," jelasnya.


Kisah Nala

Salah seekor anjing yang menarik perhatian adalah Nala, anjing baka Belgian Malinois yang merupakan satu-satunya anjing betina dalam kumpulan anjing tempur.

Dalam pameran tersebut, Nala terpaksa ditempat jauh dari ‘rakan-rakan’ lain kerana ia nampak lebih beremosi. Pantang ada yang mendekati, salakannya terus kedengaran.

“Mungkin kerana dia satu-satunya anjing betina, jadi dia sedikit agresif kerana mungkin dia merasakannya sebagai satu defense mechanism,” jelas Duin.

Bagaimanapun, tidak perlu risau kerana Nala tidak akan menerkam atau menyerang sesiapa jika tidak diarahkan berbuat demikian.

"Cuma dia agak 'bising' berbanding anjing-anjing yang lain. Dengan saya pun dia bising sebab saya suka usik dia," kata Duin sambil ketawa.

Namun, berhati-hati jika anda dikejar Nala, kerana kelajuan lariannya boleh mencecah 27 kilometer sejam!


Prestasi dijaga

Diet harian anjing-anjing ini juga tidak diambil ringan. Makanan mereka adalah gabungan palet dan wet food, satu formulasi khas yang membantu prestasi optimum semasa latihan dan operasi.

Kata Duin yang juga merupakan ketua detasmen anjing tempur ATM, semua anjing-anjing ini akan menjalani latihan selama enam jam setiap hari bagi memastikan mereka dalam prestasi terbaik.

“Kalau terlepas latihan, mereka boleh terlupa skil yang sudah dilatih. Tapi dalam masa yang sama, tak boleh bagi mereka penat sangat sebab kalau penat, mereka akan buat perangai.

“Ada dalam kalangan anjing-anjing ini, kalau sudah penat, mereka tak nak berjalan pun. Terpaksalah kita yang dukung,” katanya lagi.

Selain itu, anjing-anjing ini juga mempunyai rutin penjagaan harian, seperti mandi setiap hari.

“Kita pastikan mereka dalam keadaan bersih dan selesa. Ada yang mandi pakai syampu berjenama, itu terpulang pada handler masing-masing,” katanya tersenyum.

Nala lebih sensitif dan beremosi demi menjaga dirinya yang merupakan satu-satunya anjing betina dalam unit ini.



Pelupusan bukan kejam

Anjing tempur ini berkhidmat selama tujuh hingga sembilan tahun sebelum ditamatkan perkhidmatan. Namun, proses "persaraan" mereka tidak seperti anjing biasa.

Disebabkan status mereka sebagai anjing tempur yang menyimpan banyak rahsia operasi ketenteraan, mereka tidak boleh dilepaskan kepada orang awam.

Sebaliknya, proses pelupusan dilakukan secara terkawal, mengikut prosedur.

"Kalau jatuh ke tangan orang yang salah, mereka boleh kaji tingkah laku anjing-anjing ini dan mungkin dedahkan rahsia pertahanan kita. Jadi, pelupusan perlu dibuat secara beretika dan selamat," tambahnya tersebut.


Lebih daripada sekadar haiwan

Cawangan Serigala bukan sekadar tentang anjing dan latihan. Ia adalah tentang kesetiaan, disiplin dan ketepatan.

Dalam diam, unit ini memainkan peranan penting dalam pertahanan negara, membuktikan ada masanya, barisan pertahanan bukan tentang kekuatan senjata, tetapi ketajaman deria dan semangat setia seekor anjing.





#ATM #anjing tempur #K9 #aset negara