KUANTAN: Semua cadangan penambahbaikan yang digariskan pihak Statutory Framework World Network of Biosphere Reserves (IACBR) terhadap Tasik Chini di Pekan telah diambil tindakan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Beliau berkata antara penambahbaikan yang dilaksanakan ialah pengezonan tapak rizab biosfera kepada zon teras, zon penampan dan zon peralihan, penubuhan Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP) dengan dua pegawainya bertanggungjawab menguruskan pelan pemulihan tapak rizab selain penubuhan Majlis Biodiversiti Pahang.

"Kerajaan negeri telah menyediakan Laporan Periodic Review Rizab Biosfera Tasik Chini yang telah diserahkan secara terus ke pejabat Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) oleh Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak pada 27 September lepas," katanya.

Mohd Sharkar berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, bagi menjawab soalan Mohd Sharim Md Zain (BN-Chini) yang ingin tahu status pembaharuan tapak biosfera Tasik Chini oleh UNESCO.

Selain itu, Mohd Sharkar berkata kunjungan delegasi Pahang ke UNESCO itu juga disertai Wakil Tetap Malaysia ke UNESCO bertujuan mewujudkan peluang jaringan komunikasi dan kerjasama antarabangsa terutamanya dalam program Man and Biosphere (MAB) dan UNESCO Global Geopark.

Menjawab soalan tambahan Andansura Rabu (PAS-Beserah) berhubung kekangan utama dalam pemulihan Tasik Chini supaya masalah sama tidak berulang pada masa depan, Mohd Sharkar berkata antara halangannya ialah perlombongan dan kawasan hutan simpan yang tidak besar.

"Bagaimanapun tindakan awal telah diambil terutama terhadap perlombongan yang kita tidak benarkan mereka untuk sambung lesen perlombongan selepas tarikh lesen luput dan kita juga telah menambah keluasan hutan simpan Chini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata Pahang kekal penyumbang utama daging lembu negara iaitu 12 peratus daripada pengeluaran daging negara.

Beliau yang menjawab soalan Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin (BN-Dong) berkata pengeluaran daging lembu di Pahang pada 2021 adalah sebanyak 4,739 tan metrik berdasarkan populasi ternakan berjumlah 142,501 ekor lembu melibatkan 4,067 penternak.

-- BERNAMA